Friday, March 14, 2014

Tips Untuk Surirumah : Bagaimana Mahu Mengumpul Modal Perniagaan


Imej : Carian Google
Teks : Zaila Mohamad

Assalamualaikum,

Saya sering mendapat pertanyaan bagaimana untuk memulakan perniagaan secara talian sekiranya tiada modal untuk bermula. Usahkan duit, produk untuk jualan juga tiada, jadi bagaimana seharusnya untuk bermula?

Sebagai seorang surirumah yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap, saya faham situasi kalian. Sudah semestinya tidak tahu dari mana ingin mendapatkan modal untuk memulakan sesuatu perniagaan. Mungkin di antara anda yang tidak mahu menyusahkan suami dengan meminta-minta duit modal dari mereka bukan? Saya juga banyak mendapat aduan dari surirumah yang setiapkali mahu memulakan sesuatu bisnes, suami tidak memberi sokongan dari awal lagi. Memang kedengaran agak susah tetapi jangan risau, jika anda tetapkan matlamat dan pasang niat mahu berniaga untuk menolong suami, insya Allah segalanya akan mudah belaka.

Baik, di sini saya akan kongsikan beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh anda untuk mengumpulkan modal untuk berniaga. Ianya boleh dilakukan secara berperingkat dan pastikan usaha yang dilakukan adalah berterusan dan tanpa mengenal erti penat jemu.

1) Menjual Barang Terpakai Di Rumah Melalui Laman Mudah.my

Seperti yang saya tulis di entri ini : Tips Untuk Surirumah : Tambah Pendapatan Dengan Menjual Barang Terpakai Di Mudah.my. Salah satu cara yang paling senang kerana kita tidak memerlukan modal untuk membeli produk baru. Lihat sahaja di sekeliling rumah, pasti akan ada barangan yang kita rasa sudah tidak memerlukan khidmatnya lagi bukan? Jadi, dari dibiarkan mengumpul habuk di dalam stor, lebih baik kita jual sahaja di laman Mudah.my pada harga yang murah-murah. Seeloknya janganlah menipu ya! Jika barangan masih dalam keadaan baik sahaja yang kita jual. Kalau barang yang sudah rosak atau menunggu masa untuk dibuang, janganlah dijual pula. Duit yang terkumpul boleh disimpan di dalam tabung modal bisnes.

2) Menjual Barangan Terpakai

Yang ini pula khas untuk barangan terpakai yang sudah rosak seperti mesin basuh lama, suratkhabar lama, bateri lama, tin-tin kosong, plastik atau botol kosong. Barangan tersebut bolehlah dijual kepada lori apek yang selalu membeli barangan terpakai atau anda pergi sendiri ke Pusat Pungutan Barangan Terpakai. Duit yang didapati walaupun sedikit tetapi jangan lupa untuk disimpan ke dalam tabung modal bisnes juga.

3) Mengambil Tempahan Memasak / Menjahit

Tidak kira yang mana satu minat anda, seharusnya anda boleh mengumpul wang modal bisnes dengan mengampil upah untuk tempahan memasak atau menjahit. Ini boleh dilakukan secara sambilan iaitu pada hujung minggu sahaja jika tidak mahu mengganggu rutin harian pada hari anak-anak bersekolah. Jangan lupa untuk menyimpan hasil dari upah secara konsisten.

4) Menjual Barangan Secara Dropship

Cuba tawarkan diri kepada kawan-kawan yang menjual barangan untuk mengiklankan produk mereka di facebook anda. Setiap jualan yang didapati akan diberikan komisen. Boleh kumpul komisen setiap minggu dengan membuat sasaran berapa produk yang mahu dijual setiap hari.

5) Menawarkan Iklan Atau Menulis "Review" Produk di Blog

Bagi mereka yang mempunyai blog, boleh tawarkan khidmat menulis "review" produk di blog ataupun menawarkan ruangan untuk pengiklanan. Boleh tawarkan harga dari serendah RM5 sehinggalah RM50 bergantung kepada jumlah trafik blog anda juga. Jika tawarkan RM5 untuk satu iklan, jika ada 10 pengiklanan yang mahu beriklan di blog, anda sudah boleh jana RM50 untuk sebulan tanpa perlu mengeluarkan modal pun.

Baiklah, duit yang dikumpul bolehlah digunakan untuk membeli atau memulakan sesuatu bisnes. Ramai surirumah yang mengatakan bahawa yuran untuk belajar kelas asas blog & fanpage adalah mahal. Sebenarnya tiada masalah jika mereka tahu bagaimana cara untuk mendapatkan modal untuk bermula. Katakan yuran yang mahu dibayar adalah RM150, anda bolehlah mengumpul dengan mengamalkan 5 cara di atas. Apabila sudah belajar, praktikkan segala ilmu dan mulakan dengan mensasarkan perkara lain pula sebagai pemangkin untuk bekerja lebih kuat lagi. Sebagai contoh; anda mahu membeli sebuah komputer yang berharga RM3,000.00. Jadi, usahakan supaya boleh mendapat pendapatan sebanyak RM100 seminggu. Jika mahu cepat untuk mendapatkannya, gandakan agar menjadi RM100 sehari. Mungkin kedengaran seperti mustahil tetapi jika diamalkan selalu, insya Allah semua itu akan terjadi.

Yang penting kena ada disiplin dan semangat yang kuat. Jika suami tidak memberikan sokongan, buktikan dahulu yang anda boleh lakukan tanpa bantuan kewangan daripada suami. Insya Allah, jika suami melihat kita bersungguh-sungguh, suatu hari nanti dia akan memberikan sepenuh sokongan kepada kita. Saya juga ada beberapa kenalan yang asalnya hidup susah dan beliau hanyalah seorang surirumah biasa sahaja. Tetapi berkat kerajinan dan usaha yang berterusan, kini Alhamdulillah boleh dikatakan hidup mereka telah jauh berubah.

Setakat ini sahaja coretan saya. Bagi yang masih teragak-agak untuk bermula, nasihat saya supaya anda cari kekuatan dalaman dan jalan terus!

Salam kasih sayang buat semua. Bagi yang berminat untuk belajar kelas asas blog & fanpage di bawah saya, hubungi saya melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
Sms / whats app : 012-3228651
Facebook : Zaila Mohamad


2 comments:

  1. Subhanallah..seronoknya baca blog Puan ni
    terima kasih utk tip2 yg berguna

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya. banyak tips. admin. sudi tak singgah ke blog saya utk idea tips lain. admin mungkin terkejut dengan banyak lagi peluang kerja online yang ada.

      [Jemput ke blog saya untuk tips Kerja Part Time Online]

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...