Thursday, October 16, 2014

Rahsia Memikat Pelanggan

Teks : Zaila Mohamad
Imej : Koleksi peribadi

Assalamualaikum,

Mahukah kalian tahu apakah rahsia untuk memikat pelanggan? Ramai di antara peniaga online yang berderu-deru masuk Whats App mahupun pertanyaan di inbox tetapi tiada satu pun yang tersangkut untuk membeli? Pasti pelik bukan? Sudah tentulah ada silapnya yang datang daripada kita sendiri. Alhamdulillah, sepanjang saya berniaga online secara kecil-kecilan ini sudah ramai yang mempercayai dan menggunakan khidmat saya terutamanya bagi mereka yang sedang mencari barangan parti harijadi.



Apakah rahsia untuk memikat hati pelanggan yang telah saya amalkan selama ini? Di sini saya kongsikan sedikit pengalaman dan juga tips yang selalu saya amalkan semasa berurusan dengan mereka.

Rahsia 1 :

Pelanggan suka diraikan. Jadi apabila pelanggan bertanya, cepat-cepat balas dengan ucapan terima kasih atas usahanya untuk bertanyakan harga atau tentang produk kita. Selain itu, banyakkan menjawab dengan penuh senyuman (ikon senyuman kan ada :) walaupun hakikat sebenar kita sedang berperang dengan anak-anak. Inilah kelebihan berbisnes online di mana kita boleh menyembunyikan emosi di sebalik urusniaga. Jika pelanggan tidak mahu / jadi membeli, jangan lupa ucapkan terima kasih juga. Mana tahu, berkat kesabaran kita melayan karenah mereka akan tertarik untuk datang kembali.

Rahsia 2 :

Jadilah seorang yang profesional. Terus terang setiap hari pelbagai lapisan (jenis) manusia yang menghubungi saya bertanyakan tentang produk. Ada yang tua, muda, remaja, kanak-kanak 9 tahun pun ada! Jadi tidak semua bahasa yang mereka gunakan sama dengan kita. Selalunya warga tua suka menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) manakala yang muda lebih selesa dengan Whats App atau Telegram. Ada yang menggunakan bahasa yang ringkas (short form) sehinggakan saya sendiri tidak faham apa maksudnya. Jadi di sini, jadilah seorang peniaga yang profesional iaitu menggunakan Bahasa Melayu yang betul dan jangan memarahi pelanggan sebaliknya meminta mereka menjelaskan kembali apa yang mereka mahu. Jangan sesekali marahkan atau menegur kesilapan mereka kerana ini boleh membuatkan pelanggan marah atau lari.

Rahsia 3 :

Pelanggan suka sekiranya kita memberikan harga yang istimewa atau barangan yang percuma. Ini boleh dilakukan dengan syarat pembelian haruslah melebihi RM200 ke atas (bergantung kepada produk). Kalau pelanggan hanya beli RM20 janganlah diberikan diskaun lagi. Sebagai peniaga juga harus bijak menguruskan harga supaya kita tidak menanggung kerugian hanya semata-mata mahu memuaskan hati pelanggan. Bagi pelanggan yang ulang tempahan, mungkin boleh berikan diskaun lagi untuk menggembirakan mereka.

Rahsia 4 :

Jangan melayan pertanyaan pelanggan sewaktu emosi tidak stabil. Seeloknya balas dahulu mengatakan yang kita sedang sibuk dan akan layan sebentar lagi. Seeloknya pergi makan dahulu atau selesaikan anak-anak atau uruskan apa yang sedang mengganggu fikiran kita dan kembali semula kepada pelanggan setelah emosi tenang. Keadaan perut yang lapar, anak-anak yang menagih perhatian boleh mengganggu emosi dan seterusnya boleh mencetus perasaan marah dan jawapan yang tidak elok kepada pelanggan.

Mahu tahu lebih rahsia lagi? Jom dapatkan ebook ini iaitu Rahsia Khidmat Pelanggan Usahawan Online di sini.


Sehingga bertemu lagi dan selamat memikat hati pelanggan :)

Assalamualaikum.

Wednesday, October 15, 2014

Jadikan Akademi Bekerja Dari Rumah Sebagai Platform Untuk Dikenali

Teks : Zaila Mohamad
Imej : Koleksi peribadi dan internet

Assalamualaikum,

Pada penghujung bulan September 2014 saya di sapa oleh Pn Nettty di dalam facebook bertanyakan tentang mahukah kiranya kisah saya berniaga semasa hamil disiarkan di dalam ruangan kelolaan beliau iaitu di majalah Sri Dewi & Keluarga. Sudah tentu lah mahu bukan? Bukan selalu kita boleh tengok muka kita di dalam majalah kan? Terus saya menyatakan setuju dan menghantar pengalaman ragam hamil saya kepada puan Netty. Alhamdulillah, kisah saya sudah pun keluar di dalam majalah SDK edisi November di mana Irma Hasmie dan keluarga menjadi penghias muka depan majalah tersebut.


Sudah pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana kisah saya boleh menarik perhatian wartawan majalah? Mungkin salah satu sebabnya adalah jaringan kawanan di dalam Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) sendiri. Pn Netty juga merupakan salah seorang teman saya di facebook dan beliau selalu melihat status dan update saya di dalamnya. Selain itu, saya juga selalu berkongsi pengalaman saya berniaga di dalam blog dan sudah tentulah kisah saya ini telah menarik perhatian puan Nettty. Walau apa pun, jutaan terima kasih saya ucapkan buat puan Netty dan editor majalah SDK kerana sudi menyiarkan kisah ragam hamil saya di dalam majalah ini. Tidak pernah terfikir pun untuk "masuk" majalah tetapi alhamdulillah Allah telah berikan saya jalan dan peluang apabila saya berada di dalam networking ABDR. Terima kasih juga kepada puan Masayu Ahmad yang pertama sekali memperkenalkan saya kepada puan Netty.


Saya harapkan kisah saya ini dapat memberikan sumber inspirasi buat semua bahawa walau apa jua keadaan fizikal kita samaada mengandung atau tidak, kaum wanita adalah lebih kuat dari segi mental. Kalau tidak masakan Allah memilih kita untuk menjadi seorang ibu di mana kita akan diberikan ujian mabuk semasa mengandung dan pelbagai kesakitan lagi semasa 9 bulan tempoh mengandung dan selepas melahirkan terpaksa pula melalui saat-saat berpantang yang begitu mencabar. Insya Allah, jika kita positif dan sentiasa memikirkan yang baik-baik, sudah tentu semuanya akan mudah bagi kita. Begitu juga dengan saya, jika diikutkan terlalu banyak dugaan semasa mengandung di mana air ketuban yang kurang dan saya juga selalu sakit (batuk semasa mengandung) tetapi alhamdulillah saya berjaya juga megharungi semua itu tanpa perlu rawatan lanjut. Apa yang penting adalah sikap kita perlu positif dan tabah dalam menghadapi segala dugaan.

Akhir kata jangan jadikan alasan keadaan diri yang mengandung sebagai alasan untuk tidak melakukan kerja tetapi seeloknya cuba aktifkan diri dan insya Allah semua ini akan memberikan kesan yang baik kepada kita juga.

Bagi yang berminat untuk menyertai kelas asas blog & fanpage (bisnes & penulisan) di bawah bimbingan saya, boleh hubungi saya melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
Whats App : 012-3228651 / 012-9706828
Facebook : Zaila Mohamad

Sehingga berjumpa lagi dan semoga dengan kisah ini akan menjadi permulaan yang baik untuk diri saya iaitu lebih dikenali dan dapat memberikan aura positif kepada lebih ramai lagi surirumah di luar sana. Insya Allah. Assalaualaikum.

Friday, October 10, 2014

Tips Mula Berniaga : Dapatkan Pada Harga Borong


gambar : peta untuk ke Plaza GM Klang

Teks : Zaila Mohamad
Imej : Google

Assalamualaikum,

Hari ini terpanggil untuk menulis satu lagi entri khas bagi mereka yang baru mahu memulakan perniagaan. Saya kongsikan di sini pengalaman saya sendiri bagaimana memulakan bisnes dengan hanya bermodalkan beberapa ratus sahaja.

Saya memang suka berniaga, malah sejak masih belajar di Universiti lagi saya sudah berniaga dengan menjual produk MLM. Tapi waktu itu hanya sekadar menolong kakak saya menjual produknya sahaja. Bila sudah bekerja, saya selalu juga menjual kain tudung di tempat kerja saya. Masa itu masih lagi menolong kakak ipar dan dapatlah juga komisen hasil dari jualan tersebut. Sehinggalah sampai satu masa, saya suarakan hasrat pada suami untuk berniaga di bazar pula. Suami sememangnya sentiasa menyokong saya dan dari situ saya mula tahu selok belok untuk berniaga.

Pada yang bersungguh-sungguh untuk memulakan perniagaan. Saya nasihatkan supaya mengeluarkan sejumlah wang dan cari pembekal yang boleh membekalkan produk pada harga borong. Saya ingin rekemenkan sebuah tempat pusat borong yang terkenal di Klang iaitu Plaza Borong GM Klang. Di sini ada pelbagai jenis barangan untuk dijual. Saya juga ada mengambil barang-barang jualan di sini. Alhamdulillah saya bersyukur juga kerana mengetahui akan kewujudan plaza ini dan yang bagusnya hanya 15 minit dari rumah saya. Kalau dah sampai sini memang rambang mata dan tak tahu mana satu yang mahu dibeli dan dijual.

Nasihat saya, fikirkan dahulu apa produk yang kita suka jual dan mudah untuk dijual. Apabila sudah tahu, cuba luangkan satu hari untuk mencari pengedar produk tersebut yang boleh memberikan harga terendah pada kita. Selalunya untuk mendapatkan harga borong kita diminta agar membeli minimum sekodi (dalam 20 helai) atau bergantung kepada kedai tersebut. Jadi, kena rajin bertanya dan lagi bagus jika dapat mengambil gambar produk tersebut. Apabila sudah ada pengedar, ambil nombor dan nama kedai dan ingat lokasi di mana kedai tersebut berada. Ini kerana di dalam Plaza GM Klang terdapat beratus-ratus kedai dan kemungkinan anda akan lupa di mana kedai tersebut sekiranya tidak mengambil langkah untuk mengambil nama kad bisnes kedai tersebut (pengalaman saya yang dulu).

Apabila sudah ada produk, bolehlah jual produk tersebut secara online mahupun secara offline sehingga habis. Ulangi langkah yang sama sekiranya mahu tambahkan stok. Kenapa perlunya mendapatkan harga borong adalah kerana keuntungan bagi setiap jualan adalah lebih tinggi berbanding sekiranya kita beli satu-satu. Akan tetapi kena buat kajian harga pasaran juga dan jangan sesekali meletakkan harga membabi buta tanpa mengetahui harga di pasaran berapa. Bab letak harga itu kena tanya pada yang pakar.

Selain di Plaza GM Klang, ada juga beberapa pusat borong yang terletak di Kuala Lumpur. Kalau tak silap saya di Jalan Kenanga. Di sini ada pelbagai jenis produk yang rata-ratanya dari China. Baju-baju dan tudung juga kebanyakannya datang dari Vietnam dan banyak lagi. Kena luangkan masa mencari dan membanding-bandingkan kualiti. Pendek kata, jika mahu berniaga bukannya terus ambil produk dan jual. Ada banyak lagi yang perlu dipelajari dan dibuat supaya kita dapat memaksimumkan keuntungan.

Oklah, setakat ini sahaja perkongsian mengenai pusat borong yang dapat saya cadangkan untuk mereka yang baru mahu mula berniaga. Untuk kembangkan perniagaan, gunakan blog dan fanpage sebagai medium pemasaran yang percuma. Berminat untuk belajar kelas asas blog & fanpage bersama saya, boleh hubungi saya melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
No telefon : 012-970 6828 / 012-322 8651
Facebook : Zaila Mohamad

Sehingga bertemu lagi. Assalamualaikum.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget