Showing posts with label catatan harian. Show all posts
Showing posts with label catatan harian. Show all posts

Wednesday, April 5, 2017

Entri #5 2017 : Membaca Terapi Seorang Surirumah

Teks : Zaila Mohamad
Imej : Koleksi peribadi

Assalamualaikum,

Sejak tidak bekerja di pejabat, saya akui saya mempunyai lebih banyak masa untuk membaca buku. Alhamdulillah, tahun ini saya telah berjaya menghabiskan beberapa biji buku yang telah dibeli secara "online". Antaranya adalah Summer at Little Beach Street Bakery tulisan Jenny Colgan, Afrika Aku Mai Lagi karya Dr. Hayya Bilal, Laki Aku Negro juga hasil karya Dr. Hayya Bilal (sebenarnya nama penulis adalah Jamilah Jaafar tetapi menggunakan nama pena Hayya Bilal). Memang best sangat buku-buku tersebut dan penulisan yang santai membuatkan saya mudah faham dan rasa seperti cepat-cepat mahu habiskan bacaan :)

Bulan ini saya ada membeli beberapa lagi buah buku. Antaranya Isteriku Bidadari tulisan Ebit Lew, Menelusuri Cinta juga karya Ustaz Ebit Lew, buku-buku ini sangat istimewa buat diri saya kerana dibeli sewaktu Ustaz Ebit Lew datang ke surau berdekatan rumah memberi kuliah. Boleh baca di sini untuk mengetahui kandungan kuliah perdana dari Ustaz Ebit Lew ya. Salah satu buku juga ditandantangan oleh beliau beserta pesanan "Allah sayang Zaila". Berbunga-bunga rasanya hati saya malam itu. Apatah lagi selepas mendengar kuliah dari ustaz kegemaran saya.


 Insya Allah saya akan kongsikan ulasan buku-buku ini setelah saya habis membacanya ya.


Buku How To Talk So Kids Will Listen edisi Bahasa Melayu ini pula pemberian seorang kawan. Alhamdulillah, saya bersyukur sebab selalu dikelilingi oleh kawan-kawan yang positif dan sangat pemurah. Semoga Allah murahkan rezeki kawan saya ini.


Sekarang saya sedang habiskan membaca buku What's Up Turks karya Ayza Gursoy. Masya Allah baru baca beberapa helai airmata deras mengalir. Ini kerana terkesan dengan penulisan beliau yang menceritakan tentang perihal penulis berusaha untuk menelefon ibu penulis dari Turki. Kadang-kadang, melalui penulisan orang lain pun kita terkesan dan melihat diri yang kadang-kadang terlupa untuk bertanya khabar mak sendiri yang hanya tinggal beberapa ratus kilometer dari kita.

Insya Allah saya memang berjanji kepada diri untuk membaca lebih banyak buku tahun ini. Kalau dulu harta yang selalu saya kumpul adalah beg tangan berjenama (walaupun bukan tahap mak-mak datin), kosmetik dan barang kemas tetapi sekarang saya berpendapat "Less is More". Kurangkan kecintaan kepada harta duniawi dan sebolehnya mahu tambah ilmu dalam diri. Membaca memang dapat menghilangkan tekanan yang saya hadapi dalam menguruskan keluarga. Seharian penat melayan karenah anak-anak, selalunya saya mendapat ME TIME dengan membaca. Walau sekadar berbaring dan sambil menyusukan anak bongsu saya masih boleh membaca ;)

Impian dalam hati mahu mengeluarkan buku pertama juga. Aminkan ya kawan-kawan semua. Sekarang hanya mampu menjual ebook sahaja. Mahu beli ebook pertama saya? Boleh dapatkannya pada harga RM25 iaitu Ebook "SURIRUMAH JUGA BOLEH BERBISNES". Whats App ke 012-970 6828 untuk pembelian.

Hingga berjumpa lagi di entri seterusnya. Assalamualaikum.

Wednesday, January 21, 2015

Mudahnya Jika Bersedia


Teks : Zaila Mohamad
Imej : Koleksi peribadi

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, minggu ini sudah masuk minggu kedua persekolahan. Dua daripada lima orang anak saya telah melangkah ke alam persekolahan tahun ini. Yang sulung si teruna sudah melangkah ke darjah tiga manakala adiknya si dara memasuki alam persekolahan darjah satu serba baru tahun ini. Pada mulanya saya sangat risau akan anak dara saya yang tidak pernah bersekolah lagi memandangkan tahun lepas saya hanya mengajar dia di rumah sahaja. Sebenarnya ada banyak keburukan (yang datang dari saya) apabila membiarkan Husna bersekolah (homeschooling) di rumah iaitu saya banyak mengabaikan dia. Saya kurang sabar untuk mengajarnya dan saya banyak membiarkan Husna leka dengan siri kartun dan kadang-kadang Husna selalu bangun lambat.

Tahun ini saya berjanji kepada diri untuk mengubah jadual waktu bekerja saya dan mahu lebih berikan tumpuan kepada anak-anak. Saya mahu anak-anak saya pergi ke sekolah dengan perasaan sentiasa bersemangat dan gembira apabila pulang ke rumah. Jadi, saya mula membuat perancangan seperti mengubah bilik tidur mereka supaya menjadi mesra untuk membuat ulangkaji, mengubah jaduah tidur dan sudah tentulah meluangkan masa dengan lebih untuk bersama mereka. Hampir seminggu juga saya dan suami melatih mereka supaya tidur awal dan bangun awal. Semasa ke Ikea, saya hadiahkan mereka jam loceng supaya mereka dapat bangun awal pagi untuk bersiap-siap ke sekolah.

Alhamdulillah, ternyata Haziq dan Husna masih mengekalkan momentum bangun awal pagi. Seawal jam 6 pagi mereka sudah bangun mandi dan kami solat subuh berjemaah bersama-sama. Kemudian, saya akan turun ke dapur menyediakan sarapan ringkas seperti roti sosej ataupun goreng nugget sahaja. Husna tiada sebarang masalah untuk bangun pagi cuma dia masih memerlukan bantuan saya untuk bersiap dan memakaikan telekung sekolahnya. Haziq pula kadang-kadang baik kadang-kadang meragam sekiranya tidak cukup tidur. Sebab itu, saya akan pastikan mereka tidur semasa pukul 10 malam kerana sekiranya terlebih dari waktu itu, Haziq akan liat untuk bangun tidur.

Beginilah perangai anak-anak saya. Mereka perlukan bantuan dan sokongan daripada saya untuk terus kekal bersemangat. Setiap malam saya akan meluangkan sedikit masa untuk membantu Husna menyusun buku dan mengulangkaji pelajaran. Mudah bukan jika bersedia?

Sama juga seperti kita mahu berhenti kerja dan berada di rumah bersama anak-anak. Segalanya memerlukan persiapan dan persediaan dari awal lagi. Bagaimana dan apa yang kita akan buat sekiranya kita sudah tidak punya pendapatan tetap dari pekerjaan kita lagi. Rancang dari awal sekurang-kurangnya setahun atau lebih untuk latih tubi mendapatkan pendapatan sampingan seperti berniaga atau menawarkan khidmat yang kita minat melalui dalam talian (online). Apabila sudah bersedia, kita boleh berhenti kerja dengan gembira kerana walaupun sudah tidak ada jawatan yang tetap tapi kita masih punya pendapatan yang masuk setiap hari.

Jika mahu berada di rumah, rancang dari sekarang ya bukan dua tiga bulan dari sekarang. Sehingga bertemu lagi dan salam kasih sayang dari saya buat semua. Saya boleh dihubungi melalui :

Email :zailamohamad@yahoo.com / zailamohamad@gmail.com
Sms / Whats App : 012-970 6828
Facebook : Zaila Mohamad

Assalamualaikum.



Wednesday, December 31, 2014

Azam Baru Seorang Surirumah

Teks : Zaila Mohamad
Imej : Sumber internet

Assalamualaikum,

Tak sangka sekejap sahaja masa berlalu. Kini 2014 bakal meninggalkan kita. Sudah pasti ramai yang akan bertanya "Apa azam baru tahun 2015?" dan tak lupa juga yang akan bertanya seperti gambar di bawah ini :

Seingat saya azam saya tahun 2014 adalah untuk lebih aktif berniaga mencari sumber pendapatan kedua selain mengharapkan gaji suami. Alhamdulillah, saya kira, walaupun suami tidak bergantung 100% dari duit perniagaan saya tetapi banyak juga yang telah saya sumbangkan kepada keluarga. Hasil daripada memasuki kelas menguruskan akaun bagi WAHM yang telah dijalankan secara online oleh Akademi Bekerja Dari Rumah pada bulan Januari 2014, saya telah mula merekod segala urusniaga wang masuk perniagaan saya. Walaupun hanya berniaga secara kecil-kecilan tetapi ianya banyak membantu saya dalam menguruskan kewangan dan meletakkan sasaran jualan produk.

Namun begitu bulan Mac saya diuji dengan komputer riba yang saya gunakan hampir 5 tahun rosak pula. Setelah membeli komputer baru jenama ASUS sekali lagi saya diduga kerana rosak tiba-tiba. Sebulan juga saya lumpuh dan tidak bersemangat. Akhirnya, suami meminjamkan duitnya untuk membelikan saya komputer riba yang baru. Kali ini jenama Acer pula. Episod dugaan demi dugaan sentiasa bersilih ganti lagi, selepas itu saya kehilangan 2 telefon pintar saya dalam kes kecurian di rumah mak di kampung. Selalunya saya gunakan dua-dua telefon tersebut untuk menjawab pertanyaan pelanggan dan mempromosikan produk tapi sudah tidak ada rezeki saya, telefon jenama Samsung S5 saya hanya sempat guna hanya beberapa bulan sahaja :(

Alhamdulillah, dengan hasil duit berniaga yang dikumpul sedikit demi sedikit, saya bangkit balik dengan membeli telefon baru. Bulan Oktober 2012 saya merekod kembali urusniaga saya dan pantasnya masa berlalu. Sedar tak sedar hari ini sudah menginjak ke penghujung 2014. Pelbagai pengalaman pahit manis dalam berniaga telah saya tempuhi tapi apalah sangat jika mahu dibandingkan dengan otai perniagaan yang lain. Namun begitu, saya bersyukur kerana berniaga banyak merubah diri saya dan tanggapan saya pada Allah. Tak sangka, apabila merekodkan segala urusan, rupa-rupanya jadual kerja kita akan menjadi lebih mudah dan tersusun.

Untuk azam tahun 2015 pula, saya telah tulis dengan lebih spesifik lagi. Kalau dulu hanya main agak-agak sahaja seperti gambar di bawah ini tetapi tahun 2015 mahu secara terperinci lagi.


Saya mahu kongsikan azam tahun 2015 saya mahu pendapatan bersih RM2,000.00 setiap bulan. Ini adalah yang wajib saya dapat kerana dari situ saya telah agih-agihkan kepada tabung masing-masing seperti mahu masukkan sebanyak RM100 untuk setiap anak-anak, mahu bayar hutang PTPTN, mahu beri duit kepada mak ayah dan pelbagai lagi. Ini yang wajib saya laksanakan setiap bulan, selagi belum tercapai maka saya perlu berusaha dengan lebih kuat lagi.

Selain dari meletakkan sasaran berapa pendapatan yang saya mahu, kena ada juga sasaran bagaimana harus mencapai target tu. Bukan mudah tapi mengikut pengalaman saya yang lepas, bekerja dengan ada perancangan adalah lebih baik daripada bekerja membuta tuli begitu sahaja.

Panjang pula saya membebel di sini ya. Itu hanya sebahagian dari azam saya. Dari segi pendapatan itu seminimum yang saya mahu dapatkan setiap bulan. Dari segi rohani pun ada juga cuma malu untuk kongsikan di sini. Biarlah antara saya dan Allah sahaja cuma satu saya mahu kongsikan antara amalan yang menjadi penarik rezeki adalah solat sunat dhuha, tahajud dan sedekah. Mungkin memperbanyakkan amalan tersebut dapat membantu kita untuk memajukan lagi perniagaan yang ada. Siapa dah cuba dia yang tahu :)

Kelas asa blog & fanpage akan berjalan seperti biasa dan insya Allah saya mahu lebih aktif menjalankan kelas secara offline juga. Harapan saya semoga tahun 2015 ini akan ada lebih ramai lagi surirumah yang berpendapatan dan boleh meninggalkan kerjaya untuk terus bersama anak-anak di rumah. Insya Allah. Hubungi saya untuk sesi kelas melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
No telefon : 012-970 6828
Facebook : Zaila Mohamad

Selamat Tahun Baru 2015 dan selamat merancang :)

Tuesday, January 7, 2014

Pengaruh Blog Kepada Masyarakat


Teks : Zaila Mohamad
Imej : Sumber blog protege kelas asas blog & fanpage iaitu Pn Zunairah ABdul Ghani

Assalamualaikum,

Saya terpanggil untuk menulis entri ini berikutan dengan kisah perkongsian daripada salah seorang protege kelas asas blog & fanpage di blog beliau iaitu mengenai adik Nurkhatijah yang membayar yuran sekolah dengan menggunakan duit syiling sahaja. Boleh baca entri asalnya di sini :

http://zunairahghani.blogspot.com/2014/01/muhasabah-yuran-sekolah-dari-duit.html

Perkongsian ikhlas dari hati Pn Zunairah ini memang sangat terkesan di hati setiap pembaca dan akhirnya mendapat banyak perkongsian di dalam media massa yang lain. Malah, saya juga berkongsikan kisah ini di laman sosial facebook saya dengan niat untuk sama-sama berkongsikan maklumat agar ada pihak-pihak yang dermawan akan tampil membantu.

Alhamdulillah, dalam masa beberapa hari sahaja berita ini telah tersebar seperti virus yang menular. Banyak blog-blog yang mengambil kesempatan menyiarkan kisah ini. Ada yang memberikan kredit kepada si penulis dan ada juga yang tidak. Walau apapun niat dan tujuan mereka, diharapkan apa yang dikongsikan akan membawa manfaat kepada semua. Antara salah satu blog yang menyiarkan hasil penulisan Pn Zunairah adalah blog ini di mana segala penulisan ditiru bulat-bulat daripada sumber yang asal :

http://tengoktvonline.blogspot.com/2014/01/sayu-anak-yatim-guna-duit-syiling-bayar.html

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah juga kerana sambutan oleh rakyat Malaysia yang berhati dermawan ini memang cukup mengejutkan. Info terkini daripada ustazah yang bertugas telah pun memberitahu yang bantuan sudah mencukupi dan sebarang derma sudah ditutup. Boleh baca update terkini perkembangan adik Nurkhatijah di sini :

http://zunairahghani.blogspot.com/2014/01/nurkhatijah-norsyafiqah-info-terkini.html

Fenomena yang melanda blog Pn Zunairah ini sebenarnya adalah biasa bagi mereka berblog. Bayangkan dalam masa sehari sahaja ramai yang mendapat tahu berita yang ingin disampaikan dan iainya tersebar secara meluas sekejap sahaja. Zaman sekarang orang sudah tidak perlu membeli suratkhabar untuk mendapatkan berita kerana berita boleh didapati di hujung jari sahaja. Facebook merupakan media sosial yang paling cepat untuk menyampaikan maklumat. Tetapi perlu diingatkan juga etika dan adab ketika menerima dan berkongsikan maklumat atau berita.

Mungkin saya akan mengupas isu etika menulis atau mengambil penulisan orang lain (plagiarism) di dalam entri yang lain. Cuma di sini saya ingin kalian lihat betapa besarnya pengaruh blog terhadap masyarakat kita. Dalam perniagaan juga, aplikasi yang sama boleh digunakan untuk meluaskan pemasaran. Jika kena gayanya, sekejap sahaja perniagaan kita akan dikenali dan mendapat tempat di dalam carian google. Jadi, jangan lupa untuk menggandingkan antara blog dan juga kuasa facebook juga. Dua formula yang mudah untuk dipelajari dan diaplikasikan bagi menaikkan momentum perniagaan.

Tahun 2014 ini, ayuh campakkan selimut dan belajar sesuatu yang baru. Jika betul-betul mahu berubah, boleh daftar kelas asas blog & fanpage bersama saya dan sertai keluarga besar Akademi Bekerja Dari Rumah bersama kami. Hubungi saya melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
Sms / whats app : 012-322 8651
Facebook : Zaila Mohamad

Sehingga bertemu kembali. Assalamualaikum.

Wednesday, December 18, 2013

Harga Barang Naik? Usah Mengeluh


Teks : Zaila Mohamad
Imej : Carian Google

Assalamualaikum,

Benar bagai yang digambarkan di dalam karikatur di atas. Lebih-lebih lagi berita tentang kenaikan harga barang memenuhi dada akhbar mahupun laman sosial yang lain. Rata-rata semua di antara kita menyuarakan rasa tidak puas hati dan kebimbangan mengenai isu kenaikan harga barang ini. Malah, saya juga terkesan sama. Menjadi seorang surirumah bukan bermakna saya hanya menunggu suami pulang membawa makanan untuk dimasak sahaja. Tetapi menjadi seorang surirumah menjadikan saya seorang yang begitu berkira-kira tentang belanja barang dapur.

Saya akui nilai duit pada zaman kita kecil dahulu sudah sangat berbeza jika dibandingkan dengan zaman sekarang. Jika dulu, not duit RM50 terasa begitu besar sehingga boleh dibelanjakan berkali-kali menjadi begitu kecil pada tahun ini. Dengan membawa wang sebanyak RM50 untuk ke pasaraya nanti apa yang kita dapat? Cukup bertuahlah jika dapat membeli banyak barangan keperluan basah tetapi jika membeli susu dan lampin anak, silap haribulan kena tambah berkeping-keping lagi not RM50.

Jika dahulu saya mengeluh juga kepada suami. Kalau bukan kepada suami, boleh luah di laman facebook di mana kawan-kawna juga akan bercerita tentang benda yang sama. Paling senang kongsi sahaja status orang bijak pandai menulis ayat panjang-panjang beserta bukti-bukti yang mereka kumpulkan itu. Tapi itu suatu masa dahulu lah kan.

Sekarang ini saya memilih untuk menjadi seorang yang sentiasa kekal positif dan bersangka baik. Dan saya bukan macai-macai mana-mana parti politik juga! Saya hanya seorang surirumah biasa yang tidak dapat lari dari menghadapi isu kenaikan harga barang. Apa juga yang saya boleh dapat sekiranya saya setiap hari asyik mengeluh di hadapan komputer tapi tidak melakukan apa-apa. Mengeluh itu bagai kita yang teruk membanting tulang bekerja tetapi hakikatnya sedang berlenang-lenang di hadapan komputer mahupun television menonton drama. Sungguh tidak adil kepada suami yang keluar bekerja bukan?

Oleh itu, jadilah surirumah yang bijak memilih. Musim isu barang naik harga ini ayuh kita sama-sama bangkit membantu suami menjana kewangan keluarga. Ada banyak pilihan pernigaan di rumah yang boleh dibuat dan ada di antaranya tidak perlu keluar dari rumah pun. Campakkan dahulu selimut selesa dan berusaha membantu suami dengan apa yang ada. Kalau hari-hari boleh berinternet, apa salahnya gunakan internet sebagai punca kita menjana pendapatan pula. Nak tahu lebih lanjut? Boleh daftar kelas online melalui saya:)

Klik tab di bahagian atas mengenai Akademi Bekerja Di Rumah yang banyak menyediakan kelas dan kumpulan sokongan bagi mereka yang mahu bermula. Boleh juga hubungi saya untuk mendapatkan khidmat nasihat atau sokongan melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
Sms/whats app : 012-322 8651
Facebook : Zaila Mohamad

Sehingga bertemu lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...