Saturday, December 5, 2015

Ulasan Buku Zero Hutang; Bukan Mudah Tetapi Tak Mustahil!


Teks : Zaila Mohamad
Imej : Koleksi peribadi

Assalamualaikum,

Baru-baru ini saya membawa anak-anak ke MPH Subang Parade untuk membeli buku. Iya, sejak menjadi surirumah sepenuh masa ini, saya rasa kecintaan saya terhadap membaca buku-buku motivasi seperti suatu ketagihan. Betul bagai dikata orang, lagi banyak kita baca lagi banyak perkara baru yang kita pelajari. Kalau singgah kedai buku, tak sah rasanya kalau tak ambil kesempatan untuk membeli dan menambah koleksi bahan bacaan untuk diri sendiri.

Kali ini buku yang berjaya menarik perhatian saya bertajuk "Zero Hutang ; Bukan Mudah Tetapi Tak Mustahil" tulisan saudara Mohd Zulkifli Shafie. Saya tertarik kerana harganya yang murah (RM15) dan juga kandungan yang nipis dan penulisan yang santai. Kalau sekali baca pun mudah untuk difahami dan tidak perlu sampai berkerut-kerut muka untuk memahami isi kandungannya. Baiklah saya kongsikan di sini beberapa point yang saya rasa sangat bagus untuk dikongsikan.

1) Kaya Atau Miskin Adalah Suatu Pilihan

Tak dinafikan setiap manusia mempunyai nafsu dan keinginan masing-masing. Nafsu untuk berkahwin, memiliki zuriat, membeli rumah idaman dan kereta besar adalah antara nafsu biasa yang manusia akan rasai. Tetapi tahukah anda bahawa setiap dari nafsu tersebut boleh dikawal dengan memilih untuk berbelanja di bawah kadar kemampuan. Dalam erti kata yang lain mengurangkan bebanan hutang bagi melunaskan nafsu yang ada. Sebagai contoh, bagi graduan yang baru mendapat kerja sudah tentu bernafsu untuk membeli sebuah kereta idaman hati bukan? Cuba berpijak di alam yang nyata dengan membeli kereta yang ansuran bulanan tidak memakan hampir separuh dari gaji kerana kereta mahal sebenarnya tidak akan membawa apa-apa nilai kepada kewangan anda. Seeloknya duit gaji digunakan untuk simpanan tetap dan membeli sebuah hartanah yang mampu milik di lokasi yang strategik dan boleh memberikan pendapatan lebihan pula kepada anda.

Apabila kita turutkan nafsu, selalunya akan membawa mudarat kepada diri iaitu dengan menanggung hutang yang kadang-kadang mencecah puluhan atau ratusan ribuan ringgit. Ditambah pula dengan pelbagai tawaran kad kredit atau skim ansuran bulanan yang disediakan oleh bank mahupun kedai barangan elektrik, sebenarnya ini boleh menjerat kepada hutang yang tidak disedari. Oleh itu, hidup kita adalah hasil dari pilihan kita iaitu samaada mahu bebas hutang atau bergaya tapi sebenarnya pokai!

2) Disiplin Menabung Penting

Penulis mencadangkan supaya melakukan tabungan secara konsisten dan adakan dana kecemasan sekurang-kurangnya minimum pendapatan 3 bulan gaji. Jika mampu, boleh gandakan sehingga 6 bulan dan seterusnya duit yang berlebihan pula digunakan untuk pelaburan. Bagaimana mahu konsisten menanbung? Seeloknya lakukan tabungan di tempat yang susah untuk keuarkan seperti Tabung Haji atau jika menabung di mana-mana kalau boleh poskan buku akaun bank ke kampung supaya susah untuk mengambil duit. Lumrah manusia, jika tahu ada duit pasti mahu habiskan ya? Jadi, disiplin diri sangat penting dan kalau boleh menabung dan lupakan terus. Dana kecemasan hanya perlu digunakan apabila berlaku kes-kes kecemasan sahaja.

3) Tips Membeli Hartanah

Seeloknya beli hartanah seawal mungkin dan jangan tunggu sudah bersara baru nak bina kediaman sendiri. Beli kediaman yang terletak di lokasi yang strategik supaya mudah untuk disewakan atau dijual sekiranya kita sudah memilih untuk berhijrah ke kampung. Selain itu, jangan tergopoh-gapah membeli kediaman yang memakan bayaran melebihi gaji bersih kita kerana ini akan merugikan diri. Kalau boleh, cari hartanah yang mampu kita bayar bulan-bulan dan berdekatan dengan tempat kerja supaya kita tidak perlu menambah kos pengangkutan pergi balik ke tempat kerja yang jauh dengan rumah idaman hati. Pendek kata, untuk membeli sesebuah hartanah memang memerlukan ilmu dan rajinkan diri membeli buku tentang hartanah sebelum memutuskan untuk mebeli hartanah pertama atau kedua atau seterusnya.

Pinjaman bank untuk membeli hartanah adalah merupakan hutang yang baik sekiranya kita bijak mengambil peluang. Sebagai contoh, kita mahu membeli sebuah rumah apartmen yang hanya perlu membayar kadar pinjaman RM800 sebulan tetapi kediaman yang kita beli tu boleh disewakan pada kadar RM900 sebulan. Sudah tentu kadar sewa akan bertambah setiap tahun manakala bayaran pinjaman bank pula adalah tetap setiap bulan. Dari situ kita sudah boleh mencipta pendapatan pasif hasil dari pembelian hartanah yang betul.

4) Sedekah Antara Jalan Kekayaan

Penulis ada juga berkongsi pengalaman beliau dalam bersedakah dan menginfakkan harta kepada mereka yang memerlukan dan bagaimana Allah membalas dengan hasil yang berlipatkali ganda lagi. Mulakan dengan sedekah yang konsisten, walau tak banyak tapi konsisten. Boleh mula dengan mendermakan RM1 ke dalam tabung masjid atau surau dan setiapkali sedekah selepas itu cuba gandakan jumlahnya. Insya Allah kita tidak akan pernah jatuh miskin dengan hanya mengeluarkan sedekah.

5) Melakukan Bisnes Dengan Sabar dan Bermula Dari Kecil

Bermula dari kecil adalah sunnatullah iaitu mengikut sunnah Allah. Ramai yang tak mampu bertahan dalam bisnes kerana mereka mahu cepat kaya, belum apa-apa lagi sudah mahu tukar kereta mahu menunjukkan simbol yang mereka sudah berjaya dalam perniagaan. Sedangkan hakikatnya nak bayar bulanan kereta pun semput setiap bulan. Jadi, walaupun keuntungan pada peringkat permulaan hanya RM10 jangan mudah putus asa sebaliknya cuba gandakan keuntungan kepada RM20, RM50 hingga seterusnya boleh melebarkan perniagaan atau menggunakan duit tersebut ke pelaburan yang lain pula. Berniaga ibarat menanam pokok, perlu dijaga dengan penuh konsisten dan kesabaran. Insya Allah suatu hari pasti akan membuahkan hasilnya.

6) Ilmu Penting Sebelum Bermula

Penulis banyak berkongsikan kisah suka duka dan pahit manis kehidupannya yang tidak mempunyai gaji yang besar tetapi berkat kesabaran dan konsisten menabung, beliau berjaya melunaskan beberapa hutang seperti PTPTN isteri dan juga mampu untuk bebas dari bebanan hutang. Segalanya bukan mudah tetapi harus belajar dan timba sebanyak mungkin ilmu dari mereka yang sudah berjaya. Pelaburan yang pertama adalah dengan membeli buku-buku hasil tulisan jutawan-jutawan yang telah berjaya seperti Irfan Khairi, Azizi Ali, Chef Li dan banyak lagi mereka yang telah membuktikan bahawa dengan ilmu yang betul kita mampu untuk menggandakan duit kita.

7) Emas Adalah Pelaburan Jangka Panjang

Semua orang sukakan emas dan nilai emas ada susut naiknya setiap tahun tetapi nilai emas tetap utuh sepanjang zaman. Sebelum memulakan pelaburan emas, pastikan diri sendiri dilengkapi dengan ilmu dahulu dan jangan laburkan semua simpanan kepada emas kerana apabila berlaku kecemasan, emas yang baru dibeli tidak akan memberikan pulangan yang tinggi sekiranya dijual. Emas adalah pelaburan jangka masa panjang dan harus sabar dalam menyimpannya. Ilmu zakat emas juga harus dipelajari supaya apa yang kita laburkan mendapat keberkatan Allah SWT.

Rasanya cukup itu sahaja yang saya boleh kongsikan, sebenarnya ada banyak lagi tisp menarik tetapi anda haruslah membeli dan membacanya sendiri. Apabila habis membaca buku ini, semangat untuk memiliki rumah kedua sebagai pelaburan semakin membuak-buak tapi mungkin masanya belum tiba lagi. Cukuplah sekiranya saya dapat konsisten dalam menabung dan menyediakan dana kecemasan buat diri dan anak-anak.

Sehingga bertemu lagi. Sekiranya berminat untuk mendaftarkan ke kelas asas blog & fanpage (mula bisnes) boleh hubungi saya melalui :

Emel : zailamohamad@gmail.com
Whats App : 012-970 6828
Facebook : Zaila Mohamad

Assalamualaikum.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget