Tuesday, December 8, 2015

Perlukah Surirumah Pandai Memandu?

Teks : Zaila Mohamad
Imej : Carian Internet

Assalamualaikum,

Zaman sekarang rata-rata kaum wanita memiliki kereta sendiri dan pandai memandu lantaran tuntutan hidup untuk pergi bekerja atau mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah. Saya sendiri sudah memiliki lesen memandu sejak dari zaman belajar di universiti lagi tetapi sangat takut untuk memandu kereta. Ditambah pula dengan faktor bekerja satu pejabat dengan suami membuatkan skill memandu saya memang tersimpan rapi bertahun lamanya.

Namun begitu, sedikit demi sedikit saya terpaksa keluar dari kepompong selesa dan takut untuk memandu apabila suami selalu keluar daerah atas tuntutan kerja. Nak tak nak, saya kena kuatkan semangat memandu kereta manual untuk ulang alik ke pejabat. Apabila saya berhenti kerja sepenuhnya pada tahun 2012, sekali lagi saya "menggantung" lesen memandu :) Urusan bisnes saya lakukan pada hujung minggu sahaja di mana suami memang menjadi pemandu setia saya. Alhamdulillah, saya bersyukur apabila mendapat suami yang begitu memahami dan  menyokong segala urusan bisnes yang saya lakukan.

Tahun ini setelah dipertimbangkan suami mencadangkan agar saya memiliki kereta sendiri supaya lebih senang untuk saya bergiat aktif dalam bisnes. Selain itu, ada agenda lain juga iaitu beliau dengan rasminya melantik saya menjadi pemandu kepada anak-anak untuk ke sekolah. Sekali lagi saya bersyukur, dengan adanya kenderaan sendiri memang tak dinafikan urusan bisnes saya lebih laju berbanding sebelum ini. Saya tidak perlu menunggu suami untuk keluar mengambil stok ataupun menghantar barang sebaliknya semua saya lakukan sendiri dengan kebenaran daripada beliau. Walaupun sudah memiliki kereta sendiri, ini tidak bermakna yang saya bebas keluar ke mana-mana tanpa pengawasan atau kebenaran dari suami.

Namun begitu, setiap bulan pening juga kepala saya memikirkan bagaimana untuk mengumpulkan duit untuk membayar ansuran bulanan kereta tersebut. Alhamdulillah, setakat ini saya bayar dengan hasil duit berniaga saya dan syukur juga kereta yang suami belikan tidak tinggi komitmen bulanan dan begitu jimat dalam penggunaan minyak! Pada yang tertanya-tanya kereta apa, sudah tentulah Perodua Axia kereta kecil sesuai untuk saya. Yang paling penting ianya jenis automatik dan alangkah mudahnya untuk dipandu :) Selama ini hanya biasa membawa manual, apabila mendapat kereta jenis automatik baru saya tahu kenapa ianya begitu senang. He he he

Bagi surirumah yang masih belum berkesempatan untuk mempunyai kenderaan sendiri, tidak mengapa asalkan ada kemahiran memandu. Tak kisahlah pandu kereta atau motorsikal, ianya sangat penting untuk menentukan tahap berdikari diri kita. Saya terbaca di dalam buku "Bekerja & Berniaga" tulisan puan Azura Abdullah yang surirumah patut ada kemahiran memandu untuk mengelakkan dari bergantung 200% kepada suami. Sangat bahaya jika berlaku sesuatu kecemasan pada suami dan kita tidak dapat berbuat apa-apa. Mesej ini bukan untuk menakutkan anda cuma jika ada peluang belajarlah memandu walau hanya untuk pergi ke kedai runcit sahaja.

Saya teringatkan sepupu saya yang juga merupakan seorang surirumah. Sewaktu anak-anak kecil, beliau hanya berada di rumah menjahit baju dan menjaga anak-anak sepenuhnya. Sekarang ini, anak-anak sudah membesar memasuki alam persekolahan beliau nekad untuk belajar memandu kerana mahu menghantar sendiri anak-anaknya ke sekolah. Berkat kerajinan dan bijak mengambil peluang dengan menumpangkan anak-anak jiran juga, kini beliau sudah boleh memandu sendiri van sekolah dan mempunyai pendapatan tetap sendiri. Hanya dengan keberanian dan mahu keluar dari zon selesa, kini beliau sudah ada pendapatan tetap setiap bulan.

Sehingga bertemu lagi. Bagi mereka yang mahu tahu dengan lebih lanjut mengenai Akdemi Bekerja Di Rumah (ABDR) dan kelas-kelas yang ditawarkan, boleh hubungi saya melalui :

E-mel : zailamohamad@yahoo.com
Whats App : 012-970 6828
Facebook : Zaila Mohamad

Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...