Thursday, August 20, 2015

3 Cabaran Utama Bekerja Di Rumah

Teks : Zaila Mohamad
Imej : Sumber internet

Assalamualaikum,

Sudah agak lama saya tidak menulis di sini. Ini kerana bulan puasa yang lepas saya menghadkan sedikit aktiviti menulis untuk menumpukan perhatian kepada bisnes bulan puasa saya. Apa lagi jika bukan menjual nasi arab dan sambal kentang. Alhamdulillah, walaupun perasan ada sedikit penurunan dalam permintaan tetapi bersyukur sekurang-kurangnya saya masih mempunyai pendapatan yang lebih berbanding bulan biasa. Maklumlah, bulan puasa permintaan untuk produk makanan tinggi sedikit berbanding bulan biasa jadi seharusnya pada bulan ini semua peniaga berusaha untuk menjual secara online mahupun secara offline.

Hari ini saya ingin berkongsi pengalaman saya sendiri iaitu cabaran yang saya hadapi apabila bekerja di rumah. Perkara ini sememangnya sentiasa akan datang apabila kita memutuskan untuk berada di rumah bagi menjana pendapatan hanya dari rumah sahaja. Jom baca apakah cabarannya itu :

1) MASALAH PENGURUSAN MASA

Masa adalah musuh utama surirumah. Jika dulu sebelum berhenti kerja saya selalu anggap yang saya akan punyai masa luang untuk menonton drama bersiri di TV. Namun anggapan saya meleset kerana setelah hampir 3 tahun saya berhenti kerja, saya memang jarang sangat dapat menonton TV dengan tenang dan mungkin kerana kesibukan dengan kerja saya sudah tidak ada minat untuk menonton TV. Tapi ada juga sekali-sekala apabila ada tayangan cerita yang best saya akan luangkan masa saya untuk menontonnya.

Penyelesaian kepada masalah pengurusan masa adalah dengan membuat senarai tugasan yang perlu diselesaikan. Sebelum mempunyai pembantu, saya dulu membasuh pakaian selang beberapa hari sahaja. Ini bagi mengelakkan berlakunya lambakan pakaian yang tidak berlipat. Memasak pula harus dilakukan awal pagi dan masak terus untuk tengahari dan kadang-kadang sampai malam. Syukur juga saya dikurniakan suami dan anak-anak yang tidak cerewet dalam soal pemakanan. Contohnya seperti hanya makan 2 jenis lauk dan suka semua jenis masakan saya :) Sellaunya saya peruntukan masa untuk bekerja pada awal pagi dan anak-anak memang akan bersama saya di dalam ruang SOHO milik saya. Sekarang ini, jadual saya sudah berubah sedikit memandangkan 2 daripada anak-anak saya sudah bersekolah. Manakala anak yang kecil selalunya pembantu saya yang akan jaga dan saya akan menyusukan yang kecil apabila si kecil mahu tidur.

Selalunya jadual harian setiap surirumah memang tidak akan sama jadi mula rancang dan tentukan mengikut kesuaian dan keselesaan kita. Apabila bekerja di rumah kita perlu kurangkan masa tidur dan membuang masa tidak tentu hala kerana bagi kita MASA ITU AMAT BERHARGA :)

2) MASALAH PENGURUSAN EMOSI

Tak dinafikan surirumah yang bekerja di rumah selalunya mudah terganggu emosinya kerana disebabkan faktor kepenatan. Bayangkan setelah penat melakukan kerja rumah, perlu pula berhadapan dengan karenah anak-anak yang pelbagai mengikut usia sudah tentu lah memenatkan jiwa dan fizikal. Saya juga selalu tewas dan kadang-kadang melepaskan kemarahan kepada anak-anak. Selalunya selepas memarahi mereka, saya akan menangis dan merasakan diri ini bukan seorang ibu yang baik. Tapi selepas saya terbaca tips di dalam ebook "Super WAHM Supermom" yang mengatakan sebelum kita bermula pastikan kita bertenaga dulu iaitu dengan mengambil sarapan atau terus makan nasi (bagi saya lah) supaya kita kekal bertenaga. Apabila perut kenyang, nak buat apa pun rasa senang!


Boleh dapatkan ebook ini di sini : BORANG TEMPAHAN atau WA 012-970 6828


Begitu juga dengan anak-anak. Pastikan mereka juga sentiasa diberikan makanan. Anak-anak yang riang adalah anak-anak yang perut mereka sentiasa kenyang. Jadi tidak akan timbul masalah anak menangis nak susu atau anak menangis perlukan perhatian. Lagi satu, jangan melayan sebarang urusan bersama pelanggan di saat kita sendiri huru-hara. Cuba untuk bertenang dahulu iaitu dengan menguruskan anak-anak dan tenangkan diri sendiri dahulu seperti tidur sekejap untuk re-cas tenaga atau cari masa sendiri (Me time) dengan membaca buku-buku kegemaran. Selepas sudah tenang baru layan segala pertanyaan Whats App, emel atau menjawab / membuat panggilan telefon.


3) MASALAH MOTIVASI DIRI

Apabila penat apabila tiada duit masuk apabila "down" dan macam-macam lagi lah perasaan negatif yang datang, memang akan membuatkan saya terbawa-bawa juga dalam melayan perasaan ini. Tapi syukur juga apabila kita memilih kawan dan persekitaran yang positif selalunya perasaan itu sekejap sahaja. Biasa bagi kita manusia ini untuk merasai semua perasaan di atas jadi yang paling penting kena kumpul kekuatan yang ada untuk melawan dan terus bangkit semula. Alhamdulillah setelah melepaskan kerjaya selama hampir 3 tahun saya tidak pernah terdetik dalam fikiran untuk kembali bekerja kerana walaupun berada di rumah saya masih kekal konsisten menjana pendapatan sendiri yang membolehkan saya membayar segala hutang dan komitmen bulanan seperti bil internet dan telefon.

Selalunya apabila saya mengalami saat-saat kemurungan, saya suka membaca buku-buku motivasi. Antara buku yang menjadi koleksi kesukaan saya adalah buku Kisah Orang Menang (Saiful Nang), Bekerja & Berniaga : Panduan Kejayaan Untuk Suri (Azura Abdullah), Ulu Yam di Liverpool (Nazali Noor) dan buku-buku yang lain. Sekali sekala kena hadiahkan diri dengan sesuatu yang menjadi kesukaan kita juga supaya kita juga akan menjadi lebih bersemangat untuk terus berusaha. Jika dulu sewaktu bekerja, saya suka membeli pakaian dan suka berhabis untuk makanan tapi sejak mempunyai lebih masa di rumah, saya suka mengumpul koleksi buku-buku dan mencantikkan ruang kerja SOHO saya :) Mungkin dengan cara ini dapat menaikkan semangat untuk terus bekerja.


Koleksi terbaru buku motivasi bacaan saya : Kisah Orang Menang dan saya berjaya habiskan baca dalam masa 2 hari sahaja (satu rekod yang cepat kerana selalunya saya agak lambat dalam menghabiskan sebuah buku)

Selain itu rekod urusniaga duit masuk dan duit keluar seharusnya diambil berat kerana dengan ini kita dapat menilai sejauh mana perkembangan perniagaan kita. Walaupun tak banyak tetapi sangat penting untuk kita tahu dan buat analisa berdasarkan jumlah yang diterima setiap bulan. Sebagai contoh sekiranya bulan puasa selalunya jualan akan meningkat dan selepas bulan puasa jualan akan suram sedikit memandangkan kuasa membeli sudah berkurangan dek kerana orang sudah kehabisan duit dan sedang berjimat-cermat. Selain itu penting juga untuk menetapkan sasaran pendapatan harian supaya kita dapat menyelesaikan komitmen bil dan hutang setiap bulan. Disiplin diri memang sangat tinggi dan sekiranya saya malas atau tidak berusaha sudah tentulah saya akan menyusahkan suami dan mengalami bebanan hutang pula.

Jadi sangat penting untuk mengekalkan motivasi dan kekal positif sepanjang masa.

Saya harap perkongsian saya ini mendapat manfaat buat surirumah lain yang sedang berusaha untuk terus bekerja dari rumah. Tak dinafikan bukan senang jalan yang dilalui tapi percayalah apabila melihat anak-anak membesar depan mata, apabila mereka memuji masakan kita apabila mereka memeluk kita bila takutkan kilat semua itu akan berbaloi.

Bagi mereka yang mahu mendaftar kelas asas blog fanpage (mula bisnes) & beriklan di Instagram boleh hubungi saya melalui :

E-mel : zailamohamad@gmail.com
Whats App : 012-970 6828
Facebook : Zaila Mohamad

Saya juga merupakan pengedar buku Bekerja & Berniaga : Panduan Kejayaan Buat Suri. Boleh hubungi saya untuk mendapatkan buku tersebut.


Sehingga bertemu lagi. Assalamualaikum.

3 comments:

  1. Assalamualaikum,sy solehah... terima kasih puan krn berkongsi pengalaman dlm mnjalankn kerja dari rumah... Ye mmg, bekerja Dari Rumah ni, mmerlukan emosi Dan semangat yg kuat...
    Terima kasih jg kongsi kata kata semangat... Allahu... :-)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,sy solehah... terima kasih puan krn berkongsi pengalaman dlm mnjalankn kerja dari rumah... Ye mmg, bekerja Dari Rumah ni, mmerlukan emosi Dan semangat yg kuat...
    Terima kasih jg kongsi kata kata semangat... Allahu... :-)

    ReplyDelete
  3. Halo, Salam musim. Ini adalah untuk memberitahukan Anda bahwa Alex Scofield Company, sebuah perusahaan pinjaman swasta multi-miliar telah membuka kesempatan keuangan untuk semua orang yang membutuhkan bantuan keuangan pada akhirnya ini musim tahun. kami memberikan pinjaman dari $ 10.000 sampai $ 500.000 dengan tingkat bunga 1% untuk individu, perusahaan dan perusahaan di bawah syarat dan kondisi yang jelas dan dimengerti. Hubungi kami hari ini di: alexscofield2852@gmail.com

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget