Wednesday, January 21, 2015

Mudahnya Jika Bersedia


Teks : Zaila Mohamad
Imej : Koleksi peribadi

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, minggu ini sudah masuk minggu kedua persekolahan. Dua daripada lima orang anak saya telah melangkah ke alam persekolahan tahun ini. Yang sulung si teruna sudah melangkah ke darjah tiga manakala adiknya si dara memasuki alam persekolahan darjah satu serba baru tahun ini. Pada mulanya saya sangat risau akan anak dara saya yang tidak pernah bersekolah lagi memandangkan tahun lepas saya hanya mengajar dia di rumah sahaja. Sebenarnya ada banyak keburukan (yang datang dari saya) apabila membiarkan Husna bersekolah (homeschooling) di rumah iaitu saya banyak mengabaikan dia. Saya kurang sabar untuk mengajarnya dan saya banyak membiarkan Husna leka dengan siri kartun dan kadang-kadang Husna selalu bangun lambat.

Tahun ini saya berjanji kepada diri untuk mengubah jadual waktu bekerja saya dan mahu lebih berikan tumpuan kepada anak-anak. Saya mahu anak-anak saya pergi ke sekolah dengan perasaan sentiasa bersemangat dan gembira apabila pulang ke rumah. Jadi, saya mula membuat perancangan seperti mengubah bilik tidur mereka supaya menjadi mesra untuk membuat ulangkaji, mengubah jaduah tidur dan sudah tentulah meluangkan masa dengan lebih untuk bersama mereka. Hampir seminggu juga saya dan suami melatih mereka supaya tidur awal dan bangun awal. Semasa ke Ikea, saya hadiahkan mereka jam loceng supaya mereka dapat bangun awal pagi untuk bersiap-siap ke sekolah.

Alhamdulillah, ternyata Haziq dan Husna masih mengekalkan momentum bangun awal pagi. Seawal jam 6 pagi mereka sudah bangun mandi dan kami solat subuh berjemaah bersama-sama. Kemudian, saya akan turun ke dapur menyediakan sarapan ringkas seperti roti sosej ataupun goreng nugget sahaja. Husna tiada sebarang masalah untuk bangun pagi cuma dia masih memerlukan bantuan saya untuk bersiap dan memakaikan telekung sekolahnya. Haziq pula kadang-kadang baik kadang-kadang meragam sekiranya tidak cukup tidur. Sebab itu, saya akan pastikan mereka tidur semasa pukul 10 malam kerana sekiranya terlebih dari waktu itu, Haziq akan liat untuk bangun tidur.

Beginilah perangai anak-anak saya. Mereka perlukan bantuan dan sokongan daripada saya untuk terus kekal bersemangat. Setiap malam saya akan meluangkan sedikit masa untuk membantu Husna menyusun buku dan mengulangkaji pelajaran. Mudah bukan jika bersedia?

Sama juga seperti kita mahu berhenti kerja dan berada di rumah bersama anak-anak. Segalanya memerlukan persiapan dan persediaan dari awal lagi. Bagaimana dan apa yang kita akan buat sekiranya kita sudah tidak punya pendapatan tetap dari pekerjaan kita lagi. Rancang dari awal sekurang-kurangnya setahun atau lebih untuk latih tubi mendapatkan pendapatan sampingan seperti berniaga atau menawarkan khidmat yang kita minat melalui dalam talian (online). Apabila sudah bersedia, kita boleh berhenti kerja dengan gembira kerana walaupun sudah tidak ada jawatan yang tetap tapi kita masih punya pendapatan yang masuk setiap hari.

Jika mahu berada di rumah, rancang dari sekarang ya bukan dua tiga bulan dari sekarang. Sehingga bertemu lagi dan salam kasih sayang dari saya buat semua. Saya boleh dihubungi melalui :

Email :zailamohamad@yahoo.com / zailamohamad@gmail.com
Sms / Whats App : 012-970 6828
Facebook : Zaila Mohamad

Assalamualaikum.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...