gambar : peta untuk ke Plaza GM Klang
Teks : Zaila Mohamad
Imej : Google
Assalamualaikum,
Hari ini terpanggil untuk menulis satu lagi entri khas bagi mereka yang baru mahu memulakan perniagaan. Saya kongsikan di sini pengalaman saya sendiri bagaimana memulakan bisnes dengan hanya bermodalkan beberapa ratus sahaja.
Saya memang suka berniaga, malah sejak masih belajar di Universiti lagi saya sudah berniaga dengan menjual produk MLM. Tapi waktu itu hanya sekadar menolong kakak saya menjual produknya sahaja. Bila sudah bekerja, saya selalu juga menjual kain tudung di tempat kerja saya. Masa itu masih lagi menolong kakak ipar dan dapatlah juga komisen hasil dari jualan tersebut. Sehinggalah sampai satu masa, saya suarakan hasrat pada suami untuk berniaga di bazar pula. Suami sememangnya sentiasa menyokong saya dan dari situ saya mula tahu selok belok untuk berniaga.
Pada yang bersungguh-sungguh untuk memulakan perniagaan. Saya nasihatkan supaya mengeluarkan sejumlah wang dan cari pembekal yang boleh membekalkan produk pada harga borong. Saya ingin rekemenkan sebuah tempat pusat borong yang terkenal di Klang iaitu Plaza Borong GM Klang. Di sini ada pelbagai jenis barangan untuk dijual. Saya juga ada mengambil barang-barang jualan di sini. Alhamdulillah saya bersyukur juga kerana mengetahui akan kewujudan plaza ini dan yang bagusnya hanya 15 minit dari rumah saya. Kalau dah sampai sini memang rambang mata dan tak tahu mana satu yang mahu dibeli dan dijual.
Nasihat saya, fikirkan dahulu apa produk yang kita suka jual dan mudah untuk dijual. Apabila sudah tahu, cuba luangkan satu hari untuk mencari pengedar produk tersebut yang boleh memberikan harga terendah pada kita. Selalunya untuk mendapatkan harga borong kita diminta agar membeli minimum sekodi (dalam 20 helai) atau bergantung kepada kedai tersebut. Jadi, kena rajin bertanya dan lagi bagus jika dapat mengambil gambar produk tersebut. Apabila sudah ada pengedar, ambil nombor dan nama kedai dan ingat lokasi di mana kedai tersebut berada. Ini kerana di dalam Plaza GM Klang terdapat beratus-ratus kedai dan kemungkinan anda akan lupa di mana kedai tersebut sekiranya tidak mengambil langkah untuk mengambil nama kad bisnes kedai tersebut (pengalaman saya yang dulu).
Apabila sudah ada produk, bolehlah jual produk tersebut secara online mahupun secara offline sehingga habis. Ulangi langkah yang sama sekiranya mahu tambahkan stok. Kenapa perlunya mendapatkan harga borong adalah kerana keuntungan bagi setiap jualan adalah lebih tinggi berbanding sekiranya kita beli satu-satu. Akan tetapi kena buat kajian harga pasaran juga dan jangan sesekali meletakkan harga membabi buta tanpa mengetahui harga di pasaran berapa. Bab letak harga itu kena tanya pada yang pakar.
Selain di Plaza GM Klang, ada juga beberapa pusat borong yang terletak di Kuala Lumpur. Kalau tak silap saya di Jalan Kenanga. Di sini ada pelbagai jenis produk yang rata-ratanya dari China. Baju-baju dan tudung juga kebanyakannya datang dari Vietnam dan banyak lagi. Kena luangkan masa mencari dan membanding-bandingkan kualiti. Pendek kata, jika mahu berniaga bukannya terus ambil produk dan jual. Ada banyak lagi yang perlu dipelajari dan dibuat supaya kita dapat memaksimumkan keuntungan.
Oklah, setakat ini sahaja perkongsian mengenai pusat borong yang dapat saya cadangkan untuk mereka yang baru mahu mula berniaga. Untuk kembangkan perniagaan, gunakan blog dan fanpage sebagai medium pemasaran yang percuma. Berminat untuk belajar kelas asas blog & fanpage bersama saya, boleh hubungi saya melalui :
Email : zailamohamad@yahoo.com
No telefon : 012-970 6828 / 012-322 8651
Facebook : Zaila Mohamad
Sehingga bertemu lagi. Assalamualaikum.
No comments:
Post a Comment