Thursday, March 6, 2014
Bertuahnya Kamu Wahai Surirumah
Imej : Google
Teks : Zaila Mohamad
Assalamualaikum,
Saya harap mereka yang membaca entri ini akan lebih berlapang dada ya. Tujuan saya menulis ini bukannya untuk memperkecil-kecilkan kerjaya yang lain selain dari jawatan surirumah. Saya dulu juga pernah mengimpikan kerjaya idaman yang selari dengan ijazah kejuruteraan yang saya pegang 9 tahun dulu. Namun, aturan Allah begitu cantik sekali. Saya lepaskan kerjaya saya pada tahun 2012 untuk lebih memberikan tumpuan kepada keluarga terutamanya anak-anak yang sedang membesar.
Jika dulu, surirumah selalu dianggap golongan yang tidak berpelajaran tinggi dan hanya bergantung harap kepada belas ihsan suami untuk terus hidup. Tetapi kini anggapan itu sudah lapuk dah, malah saya bersyukur kerana sekarang ini saya mengenali ramai surirumah yang berkelulusan tinggi dan punyai pendapatan sendiri hasil dari usaha mereka dengan bekerja dari rumah. Bekerja dari rumah tidak semestinya bermaksud kita harus berniaga menjual produk tetapi ia juga boleh membawa makna iaitu memberikan khidmat servis kita iaitu melalui pengalaman kita (samaada dari segi pembelajaran mahupun pekerjaan) kepada mereka yang memerlukan.
Saya mengatakan bahawa surirumah ini sungguh bertuah kerana Allah telah beri satu kelebihan untuk kita agar terus berada di rumah mendidik anak-anak. Dulu, sebelum berhenti kerja saya selalu merasa tertekan dengan diri. Setiap hari sebelum keluar bekerja, saya terpaksa bergegas menghantar anak-anak ke taska. Kadang-kadang bila sampai di pejabat, baju sudah basah kerana bermandikan peluh! Paling mencabar apabila suami keluar bekerja di luar daerah, rasa mahu menangis aje bila menguruskan anak-anak keseorangan diri. Tak cukup dengan itu lagi, apabila bebanan kerja seperti musim tender yang kadang-kadang ada sehingga empat tender yang mahu diserahkan dalam satu masa membuatkan saya terpaksa bekerja lebih masa untuk menyiapkannya. Cukup bulan dapat gaji dalam seminggu pun sudah habis membayar hutang-hutang yang ada! Begitulah kitaran hidup saya sebelum berhenti kerja, badan penat tetapi hasil simpanan tiada. Paling menyedihkan apabila terlepas peluang untuk menjaga anak-anak.
Keputusan untuk berhenti kerja telah saya buat secara tiba-tiba. Sedikit pun tiada desakan dari suami ataupun siapa-siapa. Mungkin masa itu badan saya yang sedang mengandungkan anak keempat merasa sudah tidak tahan lagi untuk keluar bekerja. Setiap pagi, saya akan berperang dengan emosi ibu mengandung yang begitu malas untuk bersiap untuk keluar bekerja. Di dalam hati merasakan alangkah nikmatnya jika tidak perlu bangun pagi dan keluar bekerja. Alhamdulillah, selepas berhenti, saya merasakan nikmat itu tetapi, berada di rumah cabarannya bertukar menjadi lain pula.
Setelah hampir dua tahun berada di rumah, saya sedar disiplin diri sangat memainkan peranan penting untuk memastikan kita kekal fokus dalam apa yang kita lakukan. Bagi surirumah di luar sana, walaupun kalian bukannya terdiri dari surirumah yang bekerja dari rumah, kita seharusnya bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan kepada kita ini. Tidak perlu untuk keluar rumah menempuh kesesakan jalan raya, tidak perlu meninggalkan anak-anak kepada orang lain dan tidak perlu untuk menghadapi politik pejabat yang kadang-kadang menyakitkan hati. Sebab itu saya katakan bertuahnya kalian semua! Tapi, jangan ambil mudah juga kesenangan yang Allah berikan kepada kita ini. Jadi, seeloknya surirumah juga mempunyai tabungan hari tua atau tabung kecemasan yang boleh dibincang bersama suami.
Hujung minggu yang lepas saya ke majlis kenduri kahwin bersama suami dan anak-anak. Keesokannya badan terus dilanda selsema dan batuk-batuk. Di kala ini, saya merasakan bahawa beruntungnya surirumah yang tidak perlu keluar rumah di kala cuaca yang tidak menentu ini. Badan saya sendiri sudah tidak boleh menerima angin luar yang penuh dengan asap dan kotoran itu. Alhamdulillah, walau diuji dengan sakit tapi saya tetap merasa bersyukur.
Saya doakan semoga teman-teman yang masih bekerja akan dipermudahkan segala urusan oleh Allah. Pada yang berhasrat untuk berhenti kerja, kalian boleh mula merancang dari sekarang. Dapatkan seberapa banyak maklumat dan tabungan yang boleh. Bulan ini ada tawaran 2 ebook pada 1 harga, memang berbaloi sangat untuk dimiliki dan membacanya. Boleh klik sini untuk membelinya : BORANG TEMPAHAN
Sehingga bertemu lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment