Monday, April 7, 2014

Kepentingan SOHO Apabila Bekerja Dari Rumah

Teks : Zaila Mohamad

Imej : Koleksi peribadi

Assalamualaikum,

Bersua kembali setelah lama saya menyepi. Cuti sekolah yang lepas, saya bercuti juga selama seminggu pulang ke kampung bersama anak-anak. Alhamdulillah, percutian yang sangat dinanti-nantikan oleh anak-anak. Berpeluang bertemu dan bermanja dengan Mok Na (kakak saya) dan juga sepupu-sepupu mereka yang sememangnya sudah lama menantikan kepulangan kami.

Berakhirnya cuti sekolah, bererti saya kena masuk bekerja semula. Indahnya bekerja di rumah, saya tidak perlu berhutang cuti dengan siapa-siapa. Sungguh berbeza sangat sewaktu bekerja dulu di mana tempoh bercuti paling lama pun hanya diberikan 3 hari sahaja. Tai, dalam keseronokan saya bercuti, ada juga benda di pejabat saya (ruang SOHO) terus bercuti sampai bila-bila. Iya, komputer riba yang saya selalu gunakan telah kembali kepada sang pencipta. Berbagai cara sudah dibuat tetapi memang tidak dapat menyelamatkannya lagi:(

Maka, Sabtu lepas bermulalah misi pencarian komputer yang baru kerana saya memang memerlukan khidmat komputer riba untuk melakukan kerja dari rumah. Rasa rimas dan tidak selesa menggunakan telefon untuk berhubung dengan teman-teman dan juga pelanggan. Kepuasan sebenar apabila dapat mengadap dan menaip barisan huruf-huruf yang lebih panjang di dalam komputer riba berbanding telefon. Alhamdulillah, berjaya juga mendapatkan sebuah komputer riba jenama ASUS dan sebuah mesin pencetak jenama HP. Harga untuk dua barang tersebut adalah di dalam peruntukan iaitu RM1500.00.

Sebenarnya adalah penting untuk memiliki SOHO (small office home office) sendiri di rumah. Tidak kiralah jika kita masih bekerja atau sudah berhenti kerja. Ruang SOHO ini dapat membantu kita supaya lebih fokus dalam bekerja dan membuatkan kita lebih produktif dalam bekerja. Kehadiran gadget-gadget seperti mesin pencetak, talian internet dan fail-fail dokumen memang akan memudahkan lagi pengurusan kerja kita.

Saya kongsikan di sini wajah baru ruang SOHO saya di rumah. Lokasi SOHO boleh diletakkan di mana-mana sahaja asalkan menjanjikan keselesaan dalam bekerja. Ruang SOHO saya adalah di satu sudut di dalam bilik tidur utama kediaman saya. Kenapa? Kerana saya suka bekerja awal pagi sebelum anak-anak sedar dan selalunya lewat malam pada hari minggu.


Ringkas sahaja


Saya mahu kongsikan harga mesin pencetak ini iaitu RM209. Saya rasa ianya satu pelaburan yang berbaloi memandangkan mesin ini dapat melakukan 3 fungsi iaitu mencetak, mengimbas dan menyalin (print, scan & copy). Saya dapatkan mesin ini di Plaza Alam Sentral sempena PC Fair yang sudah pun berlangsung minggu lepas.

Teruja bukan untuk memiliki ruang SOHO yang kemas dan cantik? Di sini saya kongsikan juga gambar ruang SOHO pelajar saya yang turut berkongsi gambar SOHO dengan saya di facebook.


Ruang SOHO bagi Anis Nurdhiani yang merupakan seorang guru tusyen online dan boleh ikuti blog beliau di sini : http://anisnurdhiani.blogspot.com/


Ruang SOHO bagi Pn. Rahayu Rashid. Boleh ikuti blognya di sini : http://rahayu-abdulrashid.blogspot.com/

Itu sahaja perkongsian saya buat masa ini. Semoga kalian yang membaca catatan ini juga bakal memiliki ruang SOHO sendiri. Bagi yang sudah memilikinya, sudi-sudikan berkongsi dengan saya gambar ruang SOHO anda juga:)

Sedikit pencerahan mengenai SOHO dipetik dari ebook 101 Idea Home-Based Bisnes tulisan pn Masayu Ahmad

 Apa itu SOHO
Di negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah, New Zealand, Jepun,  rakyat telah memilih untuk bekerja dan tinggal di kediaman yang sama. Mengapa? Ini membawa perubahan yang besar tentang trend bekerja dari rumah yang mula menular ke seluruh pelusuk dunia, sejajar dengan kelajuan capaian teknologi maklumat yang begitu mendominasi.
               Ia semakin berkembang dan pilihan bekerja atau mengusahakan bisnes dari rumah mempunyai banyak sisi yang proaktif. Perkhidmatan perhubungan, pusat jagaan harian, hasil kreatif, fungsi ruang dan bilik untuk hujung minggu dan hobi ditransformasikan kepada hobi menambah pendapatan dan ia berubah kepada satu peluang serius mengusahakan bisnes skala kecil.
               Dalam capaian maklumat yang semakin merebak dan pengguna internet semakin meningkat setiap hari. Bekerja dari rumah atau memiliki pejabat kecil di rumah, bukan sekadar dijadikan hobi, tetapi adalah bisnes skala kecil yang mampu memberi pulangan pendapatan lumayan.  Pejabat di rumah atau dikenali sebagai small office home office (SOHO), sudah menjadi pilihan untuk menikmati keseimbangan gaya hidup, bekerja dan matlamat untuk keluarga.
               Pemilik SOHO, dikategorikan sebagai bekerja seperti penterjemah, penulis, pereka bentuk web. Kategori ke dua ialah mengusahakan bisnes dari rumah, iaitu menawarkan produk dan perkhidmatan yang memasarkan melalui laman web jualan di internet.

Pengusaha SOHO boleh diusahakan secara sambilan juga secara sepenuh masa bagi mereka yang benar-benar serius. Ia rendah risiko, kos yang rendah, permulaan yang mudah bagi pemula bisnes yang baru. Pemilik SOHO perlu mempunyai pengurusan masa yang lebih baik, pengurusan operasi bisnes yang lebih tersusun. Jika anda mengambil masa 30 minit untuk sampai ke tempat kerja, lima hari seminggu. Jumlahkan berapa banyak masa dihabiskan dan juga pembaziran tenaga dan sumber.
               Sedangkan pilihan untuk bekerja di rumah memberi ruang yang lebih fleksibel, tiada kekangan birokrasi pejabat juga berjimat kerana tidak perlu lagi mengumpul koleksi pakaian pejabat. Sekadar memakai pakaian yang sesuai dan selesa ia sudah cukup untuk memulakan hari dengan bekerja dengan beberapa langkah sahaja dari bilik tidur.

Bila trend SOHO bermula?
 Kembali kita ketika usia kecil, kedai runcit, kedai makan dan tukang jahit adalah contoh paling mudah. Operasinya sama ada kedai bersambung dengan kediaman atau hanya beberapa langkah, atau di sebelah rumah sahaja. Tukang jahit biasanya menggunakan ruang di rumah untuk operasi menyiapkan pakaian. Ia masih kekal hingga kini bagi tukang jahit yang beroperasi hanya dari rumah. Dahulu tiada istilah pejabat kecil di rumah atau SOHO, istilahnya adalah bekerja sendiri, atau berniaga sendiri secara kecil-kecilan
Jika kita perhatikan apabila melalui kebanyakan jalan utama atau jalanraya yang sibuk. Didapati tepi kiri dan kanan bahu jalan adalah potensi yang boleh dijadikan sebagai operasi bisnes skala kecil. Contoh laluan jalan utama yang menghala ke bandar. Jika di kiri jalan ada, pasaraya kecil, nurseri tanaman, kedai makan, pasar basah, gerai-gerai kecil berbentuk kiosk seperti kosmetik, butik pengantin, salun kecantikan, gudang tempat membaiki lori, kedai runcit untuk barangan harian, gerai makan, kedai menjual produk pinggan mangkuk, bengkel basikal.
            Apa yang menariknya ialah ada kalangan pemilik bisnes kecil ini adalah tuan tanah yang asal. Di belakangnya adalah kediaman, ada ruang sedikit pada bahagian depan rumah dijadikan apa sahaja operasi bisnes. Ada juga deretan rumah kedai. Di depannya kedai dobi, kedai keperluan kanak-kanak dan bayi, keropok lekor dan sebagainya. Rumah kedai ini adalah disewa dan ada juga pemilik yang sebenar. Apa konsep ini. Ini juga adalah konsep SOHO, tetapi di bandar-bandar kecil ia telah lama diamalkan. Kini ramai yang mula memilih kawasan luar bandar yang berlokasikan bandar kecil, mula mendiami kediaman yang bercirikan konsep SOHO.

Boleh baca selanjutnya dengan membeli ebook 101 Idea Home Based Bisnes di sini : Borang Tempahan

1 comment:

  1. saya pun dah ada soho, kena tambah lagi perabot, hu2..baru bersemangat..hu2

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...