Tuesday, December 31, 2013

Selamat Datang 2014 : Tahun Untuk Berubah

Teks : Zaila Mohamad
Imej : Carian google

Assalamualaikum,

Hari ini merupakan hari terakhir di dalam tahun 2013. Tahun baru 2014 akan menjengah dalam masa tidak sampai 24 jam dari sekarang. Saya mengharapkan tahun 2014 akan membawa banyak perubahan yang positif kepada anda semua.

Umum diketahui bahawa tahun 2014 terdapat banyak kenaikan harga yang telah diumumkan oleh pihak pemerintah. Suka ataupun tidak, kita sebagai rakyat harus menerima dengan positif dan mula merancang dari sekarang apa yang perlu diubah. Saya bukan memihak kepada pemerintah tetapi isu kenaikan harga barang memang tidak dapat dielakkan bagi menjadi sebuah negara yang maju. Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menilai diri sendiri tentang bagaimana kita membelanjakan duit kita dalam perbelanjaan seharian.

Ramai yang mengeluh kerana terbeban dengan isu kenaikan harga. Tambahan lagi apabila menjelang musim persekolahan, sudah pastinya ibubapa harus mengeluarkan belanja yang lebih bagi membeli keperluan anak-anak untuk ke sekolah. Saya juga tidak terkecuali cumanya tahun hadapan anak sulung saya sudah melangkah ke darjah 2. Kami banyak mengguna pakai apa yang ada sahaja. Baju sekolah dan seluar sekolah Haziq untuk tahun lepas masih elok dan boleh diguna pakai untuk tahun hadapan. Syukur Alhamdulillah kerana badan Amirul Haziq tidak mengembang sangat:) Seluar pula memang muat-muat lagi dengan ketinggian badan Haziq. Kami hanya berhabis untuk membeli buku sekolah dan kasut sekolah sahaja. Tambang van Haziq untuk ke sekolah juga naik dalam RM5 menjadikannya RM45 sebulan. Masih boleh diterima lagi oleh kami.

Di sini saya ingin kongsikan beberapa langkah yang kami selalu lakukan untuk berjimat-cermat. Mungkin boleh dipraktikkan oleh kawan-kawan juga.

1) Berbelanja mengikut keperluan bukan mengikut nafsu : Ini yang selalu suami ajar kepada saya. Kalau ikutkan semasa bujang saya merupakan seorang yang pemboros dan suka menghabiskan duit mengikut nafsu sahaja. Sejak berkahwin, sedikit demi sedikit corak perbelanjaan saya dipengaruhi oleh suami di mana sebelum membeli sesuatu suami akan bertanya kepada saya "Apakah perlu membeli ini?". Secara tak langsung melatih otak saya supaya sentiasa bertanya soalan yang sama setiapkali ingin membeli sesuatu.

2) Berbelanja selepas semua hutang dibayar : Selalunya apabila mendapat gaji, suami akan melangsaikan segala hutang wajib dibayar seperti pinjaman rumah, kereta, kad kredit, insuran, yuran sekolah anak-anak dan pelbagai bil utiliti yang lain. Duit baki yang ada itulah yang kami gunakan untuk membeli keperluan dapur dan belanja sekolah anak-anak. Tapi sejujurnya, memang tidak cukup! Sebab itulah, kami selalu ada duit kecemasan hasil dari perniagaan yang saya jalankan.

3) Jangan manjakan anak dengan gadget dan barang permainan : Memang dari kecil lagi saya tidak pernah mengajar anak-anak dengan membelikan barang mainan kepada mereka. Mungkin zaman Haziq dan Husna dulu pernah sesekali kami membeli juga tetapi kesudahannya semua mainan rosak habis dikerjakan mereka. Sejak itu, memang anak-anak tidak pernah dibelikan mainan. Kami galakkan mereka membaca sahaja. Yang bagusnya, setiapkali keluar membeli-belah dan melalui kawasan mainan kanak-kanak, tiada seorang pun di antara mereka yang berani untuk meminta agar dibelikan mainan. Sama juga jika ke pasar malam atau ekspo, memang anak-anak tidak berminat untuk membeli mainan. Alhamdulillah, bukan kami kejam tetapi kami hanya mahu memberikan yang terbaik buat mereka. Begitu juga dengan gadget, anak-anak memang tidak dimanjakan dengan apa jua teknologi. Cukuplah sesekali mereka diberikan kebenaran untuk melihat klip kartun kegemaran mereka di notebook saya. Kadang-kadang, suami akan memberikan kebenaran mereka melihat youtube di dalam telefon suami. Bukan kami menghalang cuma kami hanya memberikan pendedahan yang cukup minimum kepada mereka.

4) Sentiasa berjimat-cermat dalam berbelanja : Pokok pangkalnya kita yang menentukan hala tuju duit perbelanjaan keluarga kita. Kami bukanlah seorang yang kedekut juga kerana ada masanya kami berhabis untuk sesuatu yang kami suka terutamanya untuk makan. Sesekali teringin juga untuk makan di kedai dan membeli sesuatu yang mahal. Tapi bergantung kepada ekonomi keluarga juga. Sekiranya bulan itu suami mendapat ganjaran bonus dari kompeni, masa ini lah sedikit duit akan digunakan untuk membeli keperluan diri atau sesuatu yang diinginkan. Tetapi selalunya suami lebih suka untuk mengamalkan dasar berjimat-cermat dengan menggunapakai apa yang ada. Ini boleh dilihat pada pakaian anak-anak kami. Selalunya mereka hanya akan mendapat pakaian baru hanya pada musim perayaan dan bonus sahaja. Jika tidak, guna pakai selagi boleh:)

Pokok pangkalnya semua harus bermula dari anda. Kadang-kadang kita suka menilai orang lain tetapi tidak pernah menilai diri sendiri. Contohnya, kita bising dengan kenaikan harga barang, pung pang pung pang di facebook mahupun borak di kedai kopi tetapi kita sendiri tidak berubah; masih berbelanja sesuka hati, kalau ke kedai makan pesan semua makanan kemudian membazir dan yang paling sedih yang merokok masih boleh membeli rokok walaupun harga pada kotak rokok semakin tahun semakin naik.

Jadi, ambil iktibar atas apa yang berlaku dan ubah cara hidup kalian juga. Bukan saya suka harga barang naik, tetapi apa yang boleh kita buat dengan sekadar hanya borak-borak kosong sahaja? Yang penting, siapkan diri untuk menjadi yang terbaik. Walau bukan untuk masyarakat tetapi cukuplah untuk keluarga kita. Tunjukkan contoh yang terbaik buat anak-anak. Jika kita gagal untuk merancang kewangan keluarga, risau anak-anak juga akan terkesan sama.

Salah satu cara untuk menambah pendapatan keluarga adalah dengan berniaga. Berhenti memberikan alasan kerana mereka yang suka mencipta pelbagai alasan memang tidak akan ke mana. Mulakan dengan apa yang ada. Insya Allah saya akan kongsikan beberapa bisnes skala kecil yang boleh diusahakan dari rumah di dalam blog ini.

Untuk pertanyaan kelas asas blog & fanpage dan juga kelas asas blog, fanpage & beriklan di Mudah.my, boleh hubungi saya melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com
Sms/whats app : 012-3228651
Facebook : zaila mohamad

Semoga bertemu lagi. Insya Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...