Monday, December 16, 2013

Bagaimana Mahu Bermula Sebagai Seorang WAHM?

Teks : Zaila Mohamad
Imej : Koleksi gambar Akademi Bekerja Di Rumah

Assalamualaikum,

Ramai yang bertanyakan kepada saya bagaimana mahu mengikut jejak langkah saya yang bekerja dari rumah. Alhamdulillah, setiap orang pengalamannya berbeza-beza tetapi matlamatnya sama iaitu mahu melepaskan jawatan untuk bersama dengan keluarga. Saya juga semenjak mempunyai anak, impian untuk berada di rumah memang sentiasa ada di dalam hati. Cuma masa itu kewangan keluarga cukup tidak mengizinkan saya dari berhenti kerja.

Jika dikenang kembali kisah alam kerjaya saya memang cukup berliku-liku. Bermula selepas berkahwin saya berpindah ke Johor mengikut suami. Kerjaya pertama saya adalah sebagai seorang staf di sebuah syarikat kontraktor di sebuah Stesen Janakuasa Tenaga di Kukup, Johor. Malangnya saya hanya bertahan selama beberapa bulan sahaja. Tidak pernah bekerja di dalam suasana yang dipenuhi dengan orang lelaki dan kebanyakannya merokok membuatkan saya tidak selesa bekerja. Suami mengizinkan saya untuk meletakkan jawatan. Alhamdulillah tidak lama selepas itu saya berjaya mendapat kerja di sebuah kilang pembuatan sofa di Pekan Nenas, Johor. Pun, tidak bertahan lama kerana di saat jawatan saya hampir disahkan, saya meletakkan jawatan untuk memilih berada di rumah.

Masa itu saya sedang mengandungkan anak sulung dan selepas melahirkan, saya mengikut suami berpindah ke Shah Alam dan memulakan kerjaya balik di syarikat tempat suami bekerja. Alhamdulillah, kali ini bertahan sehingga hampir 5 tahun. Walaupun pada mulanya selalu juga memikirkan untuk mengambil keputusan untuk berhenti kerja tetapi masih boleh bertahan. Dalam masa yang sama, saya juga selalu menghadiri peperiksaan mahupun temuduga untuk menyertai perkhidmatan kerajaan namun semuanya tidak membuahkan hasil.

Episod kekecewaan di dalam mencari pekerjaan saya tebus apabila saya mengenali dunia blog dan memulakan perniagaan alam maya. Benar, setiap manusia Allah telah tetapkan jalan yang berbeza-beza untuk mengecapi kebahagian dan kejayaan. Masa itu, saya mula berkenalan dengan ramai kenalan alam maya yang rata-ratanya terdiri dari pelbagai bidang dan latar belakang. Apa yang menarik perhatian saya adalah apabila mengenali blog kepunyaan pengasas Akademi Bekerja Di Rumah iaitu Pn Masayu yang banyak menceritakan tentang bekerja di rumah. Saat itu, saya menghulurkan salam perkenalan buat Pn Masayu dan siapa sangka, perkenalan alam maya kami masih terjalin sehingga sekarang.

Jadi, bagi yang bertanya bagaimana mahu bermula untuk bekerja di rumah. Ini nasihat saya :

1) Ubah Diri : Pertama sekali adalah mengubah "apa yang kita rasa" terhadap kemampuan diri. Perasaan selalu membanding-bandingkan kemajuan atau pencapaian antara diri sendiri dan kawan-kawan sebenarnya boleh menimbulkan rasa rendah diri dan kurang keyakinan diri. Sentiasa bersangka baik dengan Allah kerana Dia yang maha mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Jadi, ubah pemikiran diri dengan sentiasa berfikiran positif dan sentiasa bersyukur dengan setiap nikmat yang Allah berikan kepada kita.

2) Pilih Kawan Yang Betul : Tidak dinafikan kawan juga memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan aura positif kita. Tidak salah untuk mempunyai ramai kawan tetapi biarlah yang terdiri dari mereka yang baik-baik dan sentiasa memberikan sokongan buat kita. Alhamdulillah, sejak tidak bekerja, ramai teman yang menerima keputusan saya dengan terbuka dan kami masih lagi berkawan walaupun sudah berbeza latar belakang. Saya juga mempunyai ramai teman-teman yang terdiri daripada komuniti mereka yang bekerja di rumah dengan menyertai #akademibekerjadirumah.

3) Banyak Membaca : Salah satu sebab perlunya kita menambahkan ilmu di dada adalah untuk mempersiapkan diri untuk memulakan kerjaya di rumah. Membaca status-status mereka yang bekerja di rumah juga cukup mengujakan dan boleh menaikkan semangat untuk menjadi seperti mereka. Di sini, saya cadangkan pakej ebook yang sesuai dibaca untuk mereka yang mahu bermula untuk bekerja dari rumah iaitu Pakej WAHM 


Semuanya sangat berguna untuk memulakan perniagaan dari rumah. Selain itu, ada banyak lagi ebook yang boleh dibeli di sini. Insya Allah saya akan memasukkan satu per satu sebagai panduan untuk mereka yang sedang mencari rujukan untuk bermula.

Sehingga bertemu kembali. Salam kasih sayang buat semua.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...