Friday, March 27, 2015

Sahaja Aku Berniaga Kerana Allah Taala

Teks : Zaila Mohamad
Imej : Koleksi peribadi

Assalamualaikum,

Pernah tak anda mendapat soalan macam ini? "Dah lama berniaga tapi kenapa tak kaya-kaya?" tak pun berbunyi macam ini "Kau takpelah, berniaga duit banyak". Jujurnya saya sebenarnya sudah lali dengan pelbagai soalan dan sindiran sinis dari teman-teman yang masih tidak faham nawaitu (niat) saya berniaga. Di dalam minda mereka hanya tertulis "BERNIAGA UNTUK KAYA" sahaja jadi apabila mereka melakukan sesuatu perniagaan dan apabila tidak mendapat kekayaan seperti yang dijanjikan mereka akan kecewa dan seterusnya mula mencari kesalahan orang lain untuk dituding!

Tapi sekarang ini alhamdulillah saya sentiasa dikelilingi oleh insan-insan hebat yang tahu niat sebenar untuk berniaga. Dalam apa jua yang anda lakukan, niatkan hanya untuk Allah Taala. Apabila kita ikhlas, maka kita akan bersedia untuk menerima segala kemungkinan yang ada. Jangan ingat berniaga ini kita akan sentiasa mendapat duit masuk sahaja? Kalau dapat tempahan setiap hari pun tidak bermakna kita akan senantiasa untung. Saya sendiri kadang-kadang "terduduk" juga apabila wang keluar lebih banyak dari wang masuk. Bukan apa, salah saya juga yang tidak membuat perkiraan dengan tepat segala kos dan kadang-kadang menyebabkan kerugian yang terpaksa saya tanggung.

Namun, ini semua adat berniaga. Jika tidak mahu merasai segala perit jerih berniaga, maka jangan mulakannya. Tapi bagi saya, anda sudah tentulah orang yang rugi. Kenapa? Sedangkan isteri kesayangan Rasulullah sendiri iaitu Khadijah yang merupakan seorang usahawan wanita yang berjaya. Malah, beliau juga merupakans eorang surirumah pendamping kepada baginda Rasulullah SAW.

Seharusnya setiap surirumah berbangga dengan jawatan yang dipegang kerana ianya merupakan amanah Allah buat mereka untuk terus menguruskan keluarga tanpa perlu keluar dari rumah. Contohi Khadijah, isteri kepada Rasulullah SAW yang masih tetap menjalankan bisnes walaupun setelah berkahwin dengan Rasulullah. Malah, beliau juga menjadi penyumbang wang yang utama pada saat-saat sukar dalam perjalanan dakwah Rasulullah.
Justeru itu, jangan malu untuk menjadikan status surirumah sebagai satu kerjaya. Insya Allah, selain dapat menguruskan keluarga, kita juga masih mampu untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat juga.

Sumber : Ebook Surirumah Juga Boleh Berbisnes. Untuk pembelian sila klik sini : BORANG TEMPAHAN

Masih ingat lagi azam tahun baru 2015 saya yang mahu menabung untuk pendidikan anak-anak saya?
Alhamdulillah, walaupun sudah masuk suku pertama 2015 saya masih konsisten memasukkan jumlah wang yang saya peruntukkan untuk mereka. Tidak kisah banyak mana yang penting adalah konsisten. Untuk Ashraf saya terus masukkan ke dalam akaun SSPN. Untuk Husna & Haziq saya hanya masukkan ke dalam akaun simpanan mereka kerana saya fikir wang ini nanti boleh dikeluarkan pada awal tahun depan untuk membayar yuran tahunan sekolah mereka. Itupun jika perlu, jika tidak biarkan sahaja di situ tanpa diusik :)

Ini menjawab pertanyaan kenapa saya berniaga tidak kaya-kaya. Saya tertarik dengan penulisan Puan Azura Abdullah di dalam buku sulungnya iaitu "BEKERJA & BERNIAGA" yang mengatakan bahawa ramai kaum wanita terjebak dalam kancah hutang yang tidak perlu seperti hutang kereta, hutang pinjaman peribadi untuk kecantikan, hutang beg tangan dan segala jenis hutang kerana ramai di antara mereka yang berlumba-lumba untuk memuaskan hati orang lain dan cakap-cakap orang lain.

Jadi, sebelum berniaga pastikan kita perbetulkan niat sebenar kita berniaga iaitu kerana Allah Taala. Yakinlah dengan rezeki yang DIA bagi dan bersederhanalah dalam kehidupan. Selain dari itu, pastikan niat kita berniaga untuk membahagiakan hati pasangan kita, ibubapa kita dan mereka yang kita sayangi juga. Dengan duit hasil berniaga juga kita boleh membantu orang lain dengan memperbanyakkan sedekah (yang ini sudah pasti!).

Sehingga bertemu lagi. Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...