Friday, February 21, 2014
Surirumah Juga Boleh Jana Pendapatan Sendiri
Imej : Google
Teks : Zaila Mohamad
Assalamualaikum semua,
Alhamdulillah, tahun ini sudah masuk tahun kedua saya berhenti kerja dan menyambung perniagaan online yang telah saya usahakan sejak dari tahun 2009 lagi. Dulu saya pernah terdengar bisik-bisik dari kawan-kawan yang mengatakan tidak mahu berhenti kerja kerana risau akan tiada sumber kewangan sendiri untuk membeli barangan peribadi seperti gincu, henbeg idaman hati dan sebagainya. Alhamdulillah, saya ingin war-warkan di sini yang semua itu boleh kita dapat sekiranya kita tahu caranya.
Sejak berhenti kerja, tak dinafikan saya lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan. Setiap wang yang masuk dikira dan akaun bank juga dikosongkan setiap hari. Bekerja sendiri melatih diri menjadi sangat disiplin dan meletakkan sasaran setiap minggu. Namun tidak selalunya saya bernasib baik dengan mendapat jualan yang meletop setiap bulan tapi yang pastinya sejak bekerja sendiri, semua bil internet yang berjumlah RM98 setiap bulan saya yang bayar, selain hutang sendiri iaitu hutang PTPTN. Kalau dulu semua en suami yang bayarkan, tetapi sekarang sudah boleh melunaskan hutang-hutangdengan "gaji" saya sendiri hasil dari usaha bekerja dari rumah.
Bagi surirumah yang masih teragak-agak untuk bermula, adalah sangat merugikan bagi kalian sekiranya melepaskan peluang yang ada di depan mata. Alasan apa lagi yang mahu diberikan lagi?Andai ini adalah alasan sebelum anda bermula, maka bacalah jawapan yang saya berikan di bawah. Saya juga sudah melalui fasa-fasa bekerja makan gaji, bekerja sendiri dan sudah pastilah bekerja sendiri lebih dekat di hati saya:)
1) Alasan : Saya malu dan tidak tahu berniaga
Jawapan : Saya dulu pon semasa bermula memang pemalu dan tidak boleh berdepan dengan orang langsung. Tapi saya bermula dengan blog dimana saya menjual kepada mereka yang berminat dengan produk jualan saya. Yang bestnya saya tidak perlu berhadapan dengan pelanggan pun, hanya berhubung melalui telefon dan juga email sahaja. Setelah beberapa kali melakukan jualan secara online, saya bergerak selangkah lagi dengan menyertai jualan-jualan di bazar-bazar. Saya gunakan blog juga sebagai medium untuk mengwar-warkan bazar yang saya sertai dengan menawarkan promosi-promosi sekiranya pelanggan berkunjung ke gerai jualan saya.
2) Alasan Suami tidak memberikan sokongan
Jawapan : Bagaimana suami kita mahu memberikan sokongan andainya kita tidak bersungguh-sungguh membuktikan kepadanya yang kita betul-betul serius dalam perniagaan yang kita ceburi. Pengalaman saya yang lepas, saya banyak menghabiskan masa membangunkan blog jualan saya dan sehingga perniagaan saya mendapat sambutan. Selepas itu, suami memang menjadi orang kuat yang membantu saya dalam berniaga seperti meminjamkan modal, menjadi pemandu dan memberikan sokongan yang tak putus-putus kepada saya.
3) Alasan : Saya tiada modal untuk bermula
Jawapan : Modal bukanlah alasan lagi kerana sekarang apa yang terbaik adalah mulakan dengan apa yang ada dahulu. Sekiranya tidak mempunyai modal yang besar untuk membeli stok, boleh bermula sebagai ejen dropship dimana anda hanya perlu menjual produk orang lain dan menikmati keuntungan dari komisen bagi setiap barangan yang terjual. Setiap duit yang dapat boleh dikumpul untuk dijadikan modal. Sekiranya komisen setiap jualan hanya RM5, maka gandakanlah wangnya dengan menjual sekurang-kurangnya 5 produk tersebut. Jadi sehari sudah dapat RM25 untung bersih!
4) Alasan : Saya tiada internet di rumah
Jawapan : Zaman IT dihujung jari ini memang sangat-sangat tidak boleh diterima sekiranya ada yang memberikan alasan sebegini. Kecuali orang miskin yang memang nak beli beras pun tak mampu itu iyalah, kita terima alasannya. Tapi jika anda mampu untuk membeli sebuah telefon smartphone walaupun ianya hanyalah klon dari China, maka anda memang layak untuk berniaga melalui facebook. Terus terang saya katakan telefon saya sekarang hanyalah Samsung S2 yang skrinnya pecah dua. Alhamdulillah masih beroperasi dengan elok dan telefon saya hanya gunakan prabayar sahaja setiap bulan dimana saya membeli data internet secara prabayar mengikut penggunaan data. Kalau facebook kita boleh buka dan skrol tanpa jemu, gunakan peluang yang ada untuk belajar menggunakan kemudahan yang ada. Facebook, Whatsapp, viber, Instagram dan Telegram antara aplikasi yang sangat-sangat membantu dalam berhubung.
5) Alasan : Saya tiada masa untuk berniaga kerna sibuk jaga anak
Jawapan : Setiap orang diberikan jumlah masa yang sama oleh Allah iaitu 24 jam sehari. Jadi, atas kepandaian dan kebijaksanaan sendiri untuk menggunakannya. Rata-rata saya melihat orang yang berjaya dalam bidang yang diceburinya adalah kerana mereka tidak membuang masa dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Mungkin masa untuk menonton sinetron atau tidur bersamaanak-anak boleh digantikan dengan mencari ilmu dan belajar untuk menguruskan perniagaan atau kewangan dengan lebih baik. Untuk berjaya, tak dinafikan disiplin memang sangat-sangat penting. Saya juga kadang-kadang kecundang terutamanya apabila badan penat menguruskan keluarga dan anak-anak. Tetapi sebagai seorang peniaga (walaupun bukanlah yang punyai bisnes besar skala juta-juta) kita kena cepat-cepat bangkit agar tidak hanyut dibuai perasaan.
6) Alasan : Saya tiada kenderaan untuk keluar menghantar barang
Jawapan : Sekiranya kita menjadi ejen dropship, kita tidak perlu pun untuk bersusah-susah menghantarkan barangan yang dijual kerana kita hanya bertindak sebagai ejen untuk promosi dan menjadi pengantara kepada pelanggan sahaja. Saya juga walaupun menjual produk sendiri sudah jarang ke pejabat pos untuk mengepos barangan. Ini kerana saya menggunakan khidmat Gdex dimana lori Gdex akan datang ke rumah untuk mengambil barang yang kita akan hantar. Proses penghantaran juga cepat berbanding dengan Poslaju. Tak dinafikan bayaran agak mahal tetapi saya telah menetapkan terma dan syarat awal-awal lagi sebelum pelanggan bersedia untuk membeli barangan tersebut.
7) Alasan : Saya cepat sentap jika pelanggan marah
Jawapan : Sebagai manusia biasa memang tak dinafikan kita akan ,mudah berasa cepat sentap, terasa, kecik hati apabila menghadapi masalah dengan pelanggan atau perniagaan kita. Sebab itulah pentingnya ada kumpulan sokongan yang boleh membantu dalam memberikan nasihat dan kata-kata semangat. Seperti saya sendiri, kumpulan Akademi Bekerja Di Rumah memang banyak mebantu dalam memberikan semangat dan sokongan yang saya perlukan. Oleh sebab itu, sangat penting kita mencari sifu yang betul dalam perniagaan. Ada pelbagai cara yang boleh dilakukan lagi seperti mengikut (follow) fanpage sifu perniagaan dan motivasi yang terkenal seperti Dr. Azizan, Irfan khairi, Coach Bahar dan banyak lagilah! Jangan buang masa melayan fanpage-fanpage artis dan laman-laman politik yang di dalamnya sendiri terdapat banyak aura negatif.
8) Alasan : Saya tiada idea nak jual apa sebab semua saya rasa mahu buat
Jawapan : Bagi saya tidak ada masalah untuk melakukan banyak perkara dalam satu masa iaitu dengan menjual pelbagai barangan untuk menambah pendapatan kita. Saya sendiri suka mencuba dan menjual apa yang saya suka. Tidak mengapa asalkan sekurang-kurangnya kita bermula juga. Ada orang suka merancang apa yang mahu dijual tapi sampai sudah tidak terjual-jual. Dari hasil jualan kita, kita boleh tengok nanti mana jualan yang mendapat sambutan paling tinggi dan bolehlah kita fokus menjual produk tersebut sahaja.
9. Alasan :Saya selalu tak nampak hasil jualan saya, sebab itulah malas nak teruskan
Jawapan : Apabila kita bekerja sendiri, tak dinafikan disiplin diri memang snagat penting. Sebab itulah sifu saya selalu berpesan supaya mengosongkan akaun bank setiap hari (atau setiapkali ada jualan setelah ditolak kos modal) dan dimasukkan ke satu akaun yang tidak boleh dipindahkan lagi. Teknik simpan dan lupakan sangat sesuai diaplikasikan bagi surirumah yang bekerja sendiri. Bukan apa, nanti boleh membantu menyelesaikan masalah kewangan suami (andai berlaku kecemasan) atau boleh digunakan apabila perlu. Selain itu, boleh tukar duit yang ada ke dalam bentuk pelaburan juga seperti dengan membeli saham amanah dan pelaburan emas.
10. Alasan : Saya dan cuba berniaga dah tapi selalu aje gagal
Jawapan : Gagal adalah salah satu cara Allah mahu melatih kita untuk berjaya. Sebab itu apabila berniaga, jangan takut untuk melakuan kesilapan. Saya sendiri banyak melakukan kesilapan seperti salah sebut harga produk, salah kira kos pos yang kadang-kadang mendatangkan kerugian pula. Tapi saya tidak serik, bak kata orang-orang tua "kita belajar dari kesilapan masa lampau". Selain itu, saya perhatikan apabila kita bekerja sendiri majikan yang memberikan kita gaji adalah Allah Yang Maha Esa. Jadi, hubungan baik dengan majikan memang kena jaga selalu. Antara tips yang selalu sifu saya bagi adalah solat awal waktu, solat dhuha, solat tahajud dan banyakkan sedekah. Ini semua lazimnya kita tahu sebagai cara yang mudah untuk menarik rezeki datang dekat kita. Iya, memang mudah untuk melafazkannya tetapi untuk istikomah melakukannya terasa begitu susah sekali. Semoga kita semua diberikan kekuatan untuk merubah diri.
Wah! Tak sangka sampai 10 alasan yang terlintas difikiran saya jawab di sini. Apa yang saya jawab itu adalah berdasarkan pengalaman sendiri. Jika anda surirumah yang masih teragak-agak untuk bermula, rasanya boleh tolak kketepi semua alasan tersebut. Jangan tahu nak mengeluh duit tak ada, cemburu dengan wanita berkerjaya ada duit boleh beli apa sahaja yang mereka suka sedangkan kita juga tiada bezanya. Kita juga boleh malah lebih bagus lagi kerana masih berpeluang menjaga anak-anak di depan mata. Jadi berhenti mengeluh dan mulakan dengan bersyukur dengan apa yang Allah berikan kepada kita. Alhamdulillah!
Daftar kelas asas blog & fanpage bersama saya dan bersama-sama kita majukan diri dan kewangan keluarga nanti. Insya Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
assalamualaikum..
ReplyDeletebanyak panduan dan tips untuk bisnes woman seperti saya =)
terima kasih kerana sudi berkongsi
sharing is caring http://kizeewattyzainal.blogspot.com/
terima kasih utk perkongsian yg sgt menarik
ReplyDelete