Tuesday, February 3, 2015

Apa Yang Wajib Anda Tahu Sebelum Bekerja Dari Rumah


Teks : Zaila Mohamad
Imej : Sumber blog ini

Assalamualaikum,

Hari ini saya mahu kongsikan sedikit beberapa isi kandungan buku "Kitchen Table Tycoon" tulisan Anita Naik. Sebuah buku yang dihadiahkan oleh seorang adik manis yang juga pelajar kelas asas blog & fanpage saya iaitu Nor Amirah. Beliau juga seorang pengusaha bisnes pastri. Boleh singgah di blog Nor Amirah di sini : Antara Pastri & Vitamin dan like fanpage Haneesa La Shoppe.

Saya cukup tertarik dengan buku ini yang banyak berkongsikan kisah-kisah wanita hebat di United Kingdom yang telah banyak berjaya dalam perniagaan dan dalam masa yang sama berada di rumah bersama anak-anak. Saya kira saya juga seperti mereka sekarang ini. Saya bukan seorang surirumah tetapi saya adalah seorang surirumah yang bekerja dari rumah :) Ramai kaum ibu di Malaysia ini yang sangat dambakan kerjaya ini. Pilihan untuk berada di rumah bersama anak-anak bukanlah berdasarkan nasib baik semata-mata tetapi saya kira ianya adalah satu pilihan yang telah dibuat setelah memikirkan dari pelbagai sudut.


Tahukah kalian apakah perkara yang wajib diketahui bagi mereka yang mahu bekerja dari rumah? Saya kongsikan di sini :

1) Anda berkuasa

Maksudnya apa yang kita lakukan di rumah adalah semuanya atas tanggungjawab diri kita sendiri. Jika sebelum ini kita pernah bekerja, kita mungkin pergi bekerja kerana kita mahu duit gaji bulanan sahaja. Kita hanya lakukan apa yang disuruh dan kadang-kadang kita benci dengan politik pejabat yang mana pelbagai sifat dan rupa. Apabila bekerja sendiri di rumah, ini bermakna semua keputusan adalah di bawah kuasa kita. Jika betul apa yang dibuat, maka semakin maju perniagaan kita dan begitulah sebaliknya.

2) Waktu bekerja & kos penjagaan anak

Apabila kita bekerja dari rumah bersama anak-anak, kemungkinan ada masa kita tidak boleh membawa anak-anak bersama (terutamanya apabila berjumpa dengan pelanggan). Jadi, salah satu cara terbaik adalah dengan meletakkan anak-anak di bawah jagaan jiran atau taska dengan sedikit bayaran. Tapi tak semua surirumah yang bekerja perlu mengikut cara ini ya. Tetapi sekiranya mampu, adalah lebih bagus untuk mempunyai pembantu untuk melihat anak-anak supaya kita boleh fokus bekerja dan menyelesaikan beberapa perkara.

3) Ianya satu kerjaya

Ramai surirumah yang melepaskan kerjaya terperangkap dengan pengurusan masa. Selepas mereka berhenti kerja, mereka masih di dalam fasa "bulan madu" iaitu tidak menggunakan masa dengan sebaiknya untuk menghasilkan pendapatan. Jangan ingat bekerja dari rumah bermakna waktu bekerja yang sedikit, duit yang masuk adalah banyak dan anda tidak akan merasai sindrom "Ibu Bersalah". Malah, ianya akan menjadi lebih teruk lagi sekiranya kita sebagai seorang surirumah yang bekerja dari rumah tidak pandai menguruskan masa dengan penuh disiplin dan fokus.

4) Gunakan idea sendiri

Bekerja sendiri ini bermakna kita juga harus berfikir secara kreatif dan "luar kotak" untuk sentiasa fokus dalam melakukan tindakan. Pengalaman saya sendiri, apabila kita menjadi majikan kepada diri kita sendiri, sudah tentu kita akan sentiasa untuk mencuba sesuatu yang baru untuk terus mendapat sumber pendapatan.

5) Perasaan bersalah

Walaupun bekerja sendiri sambil menjaga anak-anak, jangan ingat kita tidak akan ditimpa perasaan bersalah. Ianya sesuatu yang biasa kerana cuba bayangkan, ketika kita sibuk menerima tempahan dari pelanggan melalui telefon dan anak-anak juga berebut telefon kita. Apa tindakan kita? Sudah semestinya tindakan luar kawal akan marahkan anak-anak dan cuba lari ke dalam bilik untuk mendapatkan suasana yang tenang sedikit (oh ini situasi saya dulu). Jadi, perasaan ini memang normal kita akan rasai sekiranya kita bekerja di rumah. Jadi, adalah sangat penting supaya kita bijak menguruskan emosi dan tekanan.

6) Mengambil risiko

Kita tidak boleh selalunya bermain cara selamat iaitu dengan berada di zon yang sama. Mahu berniaga tapi tidak mahu keluarkan modal, mahu dikenali tetapi tidak mahu keluar bertemu orang dan pelbagai alasan lain lagi (wah! saya pun banyak juga cipta pulau alasan). Jika mahu melangkah jauh, maka kenalah berani ambil risiko ya :)

7) Yakin diri

Apabila kita menjual produk sendiri, maka kena yakin dengan apa yang kita jual. Ini merupakan salah satu syarat wajib ada bagi setiap surirumah yang mahu bekerja dari rumah. Perlu yakin dengan diri dan fikirkan apa yang kita buat adalah betul selagi tidak menipu pelanggan.

Itu sahaja yang sempat saya kongsikan di sini. Iya, bekerja di rumah bukan lah semudah berhenti kerja dan esoknya bangun pagi tanpa perlu keluar rumah mengharungi trafik yang menggila dan duit berkepuk-kepuk masuk. Tidak, ianya tidak semudah yang disangka. Sebelum berhenti kerja, kita kena pastikan dahulu yang adakah kita sendiri sudah bersedia dari segi kewangan, fizikal dan mental untuk memulakan kerjaya dari rumah? Berada di rumah dan bekerja di rumah bermakna kita harus menggunakan kemahiran dan minat kita untuk terus mendapatkan sumber kewangan sendiri tanpa mengharapkan duit suami.

Nasihat saya, jika mahu bersama anak-anak dan bersara awal. Lakukan dari sekarang. Ada orang rezekinya cepat jadi cepatlah dia boleh meletakkan jawatan. Tapi ada orang rezekinya lambat tapi dia tidak pernah berputus asa untuk mencuba. Pokok pangkalnya, bila platfom dari sekarang.

Saya kongsikan pengalaman saya sendiri. Tahun 2009 saya mula mengenali dunia blog dan cuba untuk berniaga secara dalam talian dan offline. Alhamdulillah, mendapat sambutan walaupun tak banyak dapat pelanggan dari blog. Tahun 2012 saya melepaskan jawatan dan saya mula fokuskan blog dan melakukan pemasaran di dalam Facebook & Instagram. Alhamdulillah, dalam 2 tahun selepas berhenti kerja dan sekarang ini bekerja dari rumah banyak merubah diri saya dan cara saya berfikir. Insya Allah saya akan kongsikan lagi isi kandungan buku ini. Memang sangat bagus untuk memberi semangat kepada kita surirumah yang bekerja dari rumah ini.

Jom sertai Kelas online asas blog dan penulisan ATAU mana-mana kelas online disini:
- Kelas online asas blog dan fanpage mula bisnes
- Kelas online iklan di Instagram / Mudah.my
- Kelas online penulisan kreatif
- Kelas online urus akaun WAHM/SAHM/SOHO
- Pendaftaran Rakan Niaga/ Pengurus Online
- Tempahan Blog Bisness/ Blog Penulisan
- Ruang Iklan di Soho Directory


Hubungi saya melalui :

Email : zailamohamad@yahoo.com / zailamohamad@gmail.com
Telefon / WA / Telegram : 012-970 6828
Facebook : Zaila Mohamad

Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...