Thursday, March 16, 2017

Entri #2 2017 : Kelas Asas Blogshop Shah Alam

Teks : Zaila Mohamad
Imej : Koleksi peribadi

Assalamualaikum,

Setelah lebih setahun berehat lantaran kesibukan menguruskan anak-anak, akhirnya saya telah memberanikan diri menganjurkan kelas offline yang bertempat di Jalan Kebun Shah Alam. Kenapa lokasi kali ini di Jalan Kebun? Ini kerana memudahkan saya yang masih mempunyai anak kecil meninggalkan si anak kepada suami dalam jangka masa yang tidak lama. Memang dilema ibu yang bekerja dari rumah, anak-anak terlebih manja dan susah untuk berenggang walau sekejap (sebenarnya lebih kepada perangai ibu juga yang tidak mengharapkan orang lain yang dapat menjaga anak).

Alhamdulillah, tiada kata yang dapat diucap melainkan memanjatkan rasa syukur kepada Allah. Kisahnya saya menerima pendaftaran kelas daripada pelajar yang menetap di Kota Kemuning. Puan Z memilih untuk kelas offline kerana mahu siapkan terus blog pada hari yang sama. Maka, saya berfikir bagus juga sekiranya dibuat kelas secara offline cuma masalahnya kelas yang sesuai pula di mana? Alhamdulillah terus terlintas di fikiran untuk bertanyakan di dalam Telegram jemaah Surau Al-Hijrah di mana lokasi yang saya boleh sewa tempat yang ada mempunyai talian internet dan bilik yang selesa lengkap kerusi dan meja.

Alhamdulillah, syukur rasanya apabila seorang jemaah mengkhabarkan yang ada bilik untuk disewa di sebuah maktabah pengajian Al-Quran di Jalan Kebun dan syukur sangat sebab ustaz yang memiliki bangunan tersebut juga telah memberikan kebenaran untuk saya mengadakan kelas secara berkala di situ. Terima kasih Allah atas peluang ini.

Akhirnya, hari yang ditunggu telah tiba iaitu pada hari Ahad 12/03/2017 seramai 5 orang peserta telah datang dari pelbagai lokasi. Ada yang datang dari Ampang (suami dan isteri), Bangi, Kota Kemuning dan paling jauh dari Ipoh, Perak. Begitu bersemangatnya mereka demi mencari ilmu. Saya sangat berterima kasih kepada semua kerana mengorbankan hari cuti demi untuk menyiapkan sebuah blog. Mohon ampun dan maaf andai terkurang dalam memberikan ilmu tentang blogshop dan juga fanpage.


Barisan pelajar kelas offline pertama di Jalan Kebun. Insya Allah April nanti akan ada kelas lain akan menyusul. Doakan semoga kelas secara offline ini dapat dijalankan secara konsisten setiap bulan ya.


Kelas bermula jam 9 pagi dan berakhir 1 tengahari. Sarapan dan nota juga disediakan. Kelas kita ini santai-santai sahaja dan saya suka fokuskan kepada surirumah yang mahu menambah ilmu atau belajar tentang asas dalam membina blogshop dan juga fanpage di facebook.

Insya Allah kelas pada bulan April akan diadakan seperti berikut :

Tarikh : 08/04/2017 (Sabtu)
Masa : 0900 - 1300 (lebih kurang 4 jam)
Lokasi : Jalan Kebun Shah Alam
Kekosongan : 5 tempat sahaja (muslimah terutamanya surirumah sangat digalakkan)

Bagi surirumah yang berminat boleh mendaftar melalui talian Whats App : 012-970 6828 (Puan Zaila)

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...