Wednesday, December 9, 2015

Bagaimana Persediaan Anak-Anak Untuk Sesi Persekolahan 2016


Teks : Zaila Mohamad
Imej : Carian internet

Assalamualaikum,

Alhamdulillah kita sudah menghampiri penghujung tahun 2015. Bagi ibubapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah sudah semestinya bulan ini memerlukan belanja yang besar untuk membeli segala persiapan anak-anak untuk ke sekolah. Saya terbaca status kawan saya di facebook yang mengatakan ada pekerja di tempat kerjanya terpaksa mengambil pinjaman kerana mahu membeli persiapan sekolah anak-anak. Tambahan kos kehidupan yang semakin meningkat di bandar mahupun luar bandar, memang cukup terasa akan duit yang mengalir bak air tu!

Sebenarnya bagi mereka yang mempunyai perancangan kewangan yang bagus sudah pasti tidak akan mengalami sebarang masalah untuk berbelanja. Persoalannya bagaimana? Sudah tentulah dengan membuat simpanan untuk tabung pendidikan anak-anak secara berdisiplin. Saya senaraikan antara cadangan yang terlintas di fikiran saya. Semoga ianya dapat memberi manfaat buat anda semua. Saya juga dalam fasa untuk berubah ke arah lebih berdisiplin dalam menabung untuk anak-anak :)

1) Insuran & tabung pendidikan 

Saya tak pasti nama sebenarnya apa cuma untuk anak-anak kami memang en suami ada mengambil pelan perlindungan BSN-Prudential bagi setiap anak-anak. Selain dapat rawatan di hospital terpilih, apabila anak-anak cukup usia sejumlah wang dapat dikeluarkan bagi menanggung perbelanjaan pendidikan mereka. Kalau tak silap sewaktu mereka berusia 18 tahun nanti. Ada orang kata rugi tapi bagi kami, ianya sangat-sangat membantu terutamanya anak kami yang selalu sakit dan selalunya kos rawatan memang akan ditanggung oleh pihak insuran. Tepuk dada tanya berapa budget yang boleh dipotong demi masa depan anak-anak.

2) Tabung Simpanan

Selalunya apabila menyambut kedatangan ahli keluarga yang baru sudah tentu ramai ahli keluarga atau saudara mara akan sedekahkan duit kan? Maka duit ini boleh disimpan di dalam bank atau Tabung Haji di atas nama anak sendiri. Anak-anak kami ada tabung akaun simpanan di Maybank atas nama saya sebagai wakil sehingga mereka dewasa baru boleh ambil sendiri. Selain itu, duit raya anak-anak juga boleh disimpan dan digunakan saat mahu masuk ke sekolah nanti. Tahun ini, saya juga ada membuat simpanan hasil dari duit berniaga ke dalam akaun anak-anak. Walaupun tak banyak tetapi jika konsisten lama-lama akan bertambah juga jumlahnya. Ini bagi mencegah dari diri sendiri membazirkan duit hasil berniaga kepada perkara yang tidak berfaedah :)

3) Menyimpan Duit Syiling

Perasan tak kalau menyapu di lantai rumah tu kadang-kadang tersapu syiling bernilai sepuluh sen, dua puluh sen dan kadang-kadang lima sen. Bagi mereka yang tak mahu dompet terasa berat, sudah pasti tidak akan biarkan duit syiling berada lama-lama di dalam dompet kan? Jadi, apa kata asingkan mengikut nilai dan ajar anak untuk mengutip dan menabung duit syiling. Haaa hujung tahun macam ni, sekeping syiling yang bernilai satu sen pun sangat berharga tau! Sila kira siap-siap dan bawa ke bank untuk ditukar kepada duit ringgit dan boleh gunakan duit tersebut untuk menampung perbelanjaan sekolah anak-anak.

4) Menyimpan Dinar Emas

Yang ini satu pelaburan jangka masa panjang. Saya tak nasihatkan sangat untuk beli baju sekolah anak-anak sampai pergi gadai wang dinar emas kita tapi kalau mahu simpan sebagai tabung pendidikan anak-anak di masa hadapan, mungkin boleh mulakan dari sekarang.

Itu sahaja yang terlintas di fikiran saya. Menabung ini memang susah untuk dilakukan terutama bagi kita orang Melayu yang terlalu suka untuk bermewah-mewah. Tapi kalau mak-mak sebelum kita boleh buat, tak kan kita ibu zaman moden tak dapat lakukan juga? Hanya perlu disiplin dan otak yang sedikit "nyanyuk" untuk melupakan segala apa yang kita simpan demi pendidikan anak-anak di masa hadapan.

Apabila sudah ada tabungan dan perancangan yang jelas, sudah tentulah kita boleh elakkan dari membuat pinjaman di tempat kerja atau meminjam duit daripada saudara-mara mahupun kenalan rapat. Insya Allah. Jika anda rasakan idea atau tips yang saya berikan ini bermanfaat, silakan kongsi bersama kawan-kawan yang lain. Sekiranya mahu tahu bagaimana cara untuk belajar berniaga secara online dan offline yang saya lakukan hanya dari rumah, boleh hubungi saya melalui :

E-mel : zailamohamad@yahoo.com
Whats App : 012-970 6828
Facebook : Zaila Mohamad

Boleh daftar kelas asas blog & fanpage secara online mahupun offline dan dapatkan bonus ebook yang sangat membantu dalam merealisasikan impian untuk bekerja dari rumah. Hingga bertemu lagi. Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...